Membawang Hari Ini

Ella tetap bersemangat hiburkan peminat

HANYA tinggal seminggu sahaja lagi acara gemilang yang dinanti-nantikan peminat muzik tempatan iaitu Konsert Ella 2016 bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Demi merealisasikan janjinya terhadap peminat, ratu rock negara ini sedang giat menjalani persiapan akhir yang rapi biarpun keadaan kesihatannya kini sedikit terganggu.

“Setakat ini saya dan krew produksi giat menjalani latihan untuk konsert dan masing-masing sibuk dengan peranannya yang tersendiri.

“Alhamdulillah, persiapan dan latihan yang kami lakukan berjalan dengan lancar dan perkembangannya telah melebihi 50 peratus.

“Namun, memandangkan tahap kesihatan saya sedikit terganggu, rutin harian untuk persiapan saya kurangkan sedikit sehinggalah saya pulih sepenuhnya,” katanya pada sesi temu bual eksklusif bersama Ella di Hotel Park Royal, baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Atlas One Events, Konsert Ella 2016 merupakan konsert terbesar Ella setelah hampir 15 tahun tanpa konsert berskala besar.

Bercerita mengenai acara itu, Ella akui pemilihan lagu sepanjang persembahan konsert adalah antara cabaran terbesar buat dirinya dalam memenuhi permintaan peminat.

“Sejak konsert ini diumumkan kepada umum, ramai peminat yang membuat permintaan lagu untuk saya nyanyikan pada konsert nanti.

“Sebenarnya, agak susah memilih kerana terlalu banyak lagu, namun saya harus memilih yang bersesuaian untuk konsert ini.

“Untuk memenuhi permintaan peminat adalah mustahil, jadi kami membuat pilihan di mana sepanjang konsert saya akan sampaikan lagu-lagu yang dimuatkan dalam setiap album dari yang pertama sehinggalah yang terbaharu seperti Cinta Selembut Sutera, Kitalah Bintang, Demi, Pergilah Sayang duet bersama Korie.

“Ada juga beberapa lagu yang mungkin peminat jarang dengar contohnya Tiada Tangis Lagi, Puteri Kota dan Penawar. Sebenarnya, ia juga beri cabaran untuk saya mengingati semula lagu-lagu ini,” katanya sambil tertawa kecil.

Kembalikan nostalgia

Selepas 10 tahun, Ella akui bukan sahaja teruja untuk beraksi menghiburkan peminat tegarnya, malah dia juga tidak sabar untuk kembali ke zaman kegemilangan bersama teman-teman seperjuangan yang turut diundang ke acara bersejarahnya itu.

“Apa yang boleh saya bayangkan persembahan ini bakal kembalikan nostalgia ketika zaman kegemilangan dahulu.

“Selain menyanyikan lagu-lagu yang saya sendiri jarang nyanyikan, saya juga akan diiringi dengan sahabat-sahabat lama yang turut terlibat secara tidak langsung dalam menaikkan karier saya sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Ella bakal berkongsi pentas dengan pemuzik hebat seperti Man Kidal selaku pengarah muzik dan teman lamanya, Lord yang suatu ketika dahulu aktif sebagai Ella & The Boys serta seorang pemuzik hebat dari Jepun iaitu Kyoji Yamamoto yang turut terlibat dengan pembikinan albumnya, Ella USA.

Persembahan selama dua jam itu turut diiringi oleh Fly (pemain bass), Ridz (pemain gitar), Roza Rio (pemain keyboard), Ainol (pemain drum).

Tidak hanya itu, kumpulan Bunkface dan Amy Search bakal memeriahkan konsert tersebut.

Bertepatan dengan tema anti dadah yang diangkat menerusi konsert ini, Ella bagaimanapun mengajak peminatnya untuk hadir dengan berpakaian putih sebagai tanda sokongan terhadap kempen itu.

“Selain berhibur, saya juga mengharapkan konsert ini menjadi medium yang sesuai untuk sampaikan mesej anti dadah ini kepada mereka yang hadir.

“Warna putih adalah simbolik kepada kesucian hati bekas penagih dadah yang ingin berubah kembali ke pangkal jalan. Jadi inilah tanda sokongan yang kami ingin tonjolkan sepanjang konsert itu nanti,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");