Panasnya Hari Ini

Gesaan Itu Satu Penghinaan – Pandikar

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan bahawa tindakan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menggesa beliau untuk meletak jawatan sebagai satu penghinaan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, ia menunjukkan Lip Eng tidak menghormati jawatan yang dipegang olehnya, termasuk tugasnya yakni memayungi semua ahli Parlimen.

“Bila dia berkata begitu, dia hina saya sebagai Speaker. Mana boleh ahli Parlimen hina kedudukan Speaker? Bukan hina saya sebagai Pandikar Amin Mulia, tetapi kedudukan Speaker itu sendiri,” tegasnya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Jelasnya, beliau akan berundur tanpa paksaan daripada mana-mana pihak apabila tiba masanya nanti.

“Jika dia (Lim) hendak letak jawatan, biarkan. Apabila tiba masa untuk saya letak jawatan, saya akan buat. Jika mereka mahu memotong gaji saya, biarlah mereka yang potong,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Tambahnya, beliau tidak kesal dengan tindakan Kabinet yang menerima hanya tiga daripada empat cadangan penambahbaikan Parlimen seperti yang disyorkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan agar ahli-ahli Parlimen supaya memberikan sesuatu kenyataan yang masuk akal.

“Kita hidup dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana ahli Parlimen boleh beri kenyataan, tetapi kenyataan itu haruslah masuk akal. Jadi, tidak akan ada isu melanggar mana-mana akta atau peraturan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pandikar telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan telah menarik semula keputusan tersebut selepas Datuk Seri Najib Razak berjanji akan melakukan pembaharuan Parlimen.

Susulan itu, Lip Eng telah mempersoalkan sekiranya Pandikar benar-benar mahu mengotakan janjinya berikutan hanya satu daripada empat cadangan pembaharuan Parlimen telah ditolak oleh Kabinet.

Tiga cadangan yang diluluskan Kabinet ialah penubuhan Parlimen mini, tambahan 30 minit kepada menteri-menteri bagi menjawab soalan-soalan wakil rakyat serta mengurangkan tempoh penyerahan soalan wakil rakyat dari 14 hari kepada 10 hari.

Manakala cadangan yang ditolak Kabinet ialah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan.

“Bagi saya, ini paling penting (kerana) sebelum rang undang-undang boleh dibentangkan di Parlimen, akan ada Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai (wakil rakyat) BN dan pembangkang untuk bincang dan teliti rang undang-undang itu,” kata Lip Eng di ruang legar Parlimen, hari ini.

Gambar:- Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");