Perak Hari Ini

Helah Solat Jemaah Tidak Menjadi

KUALA KURAU: Seorang lelaki yang menggunakan helah untuk menunaikan solat secara berjemaah di sebuah masjid di sini terbongkar apabila segala tindak-tanduknya yang mencurigakan berjaya di hidu oleh penduduk kampung.

Suspek berjaya ditangkap oleh penduduk kampung setelah curiga dengan tindak- tanduk suspek yang mencurigakan untuk melakukan kegiatan jenayah di kawasan Masjid Kampung Kedai Dua, terbongkar malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, penangkapan suspek turut membawa kepada penemuan dadah jenis syabu dan beberapa peralatan elektronik dipercayai dicuri.

Ahli Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian(PSKK) hanya ingin dikenali Mohd Fadil berkata, lebih kurang jam 7.50 malam, dia sedang menaiki motorsikal melalui pekarangan kawasan masjid sebelum terlihat tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki di tempat parkir motorsikal.

Menurutnya, tatkala jemaah masjid sedang menunaikan solat berjemaah, dia hairan suspek dilihat sedang melakukan perkara mencurigakan pada salah sebuah motorsikal diletakkan di tempat parkir berkenaan.

“Berikutan itu, saya segera memanggil seorang lagi rakan sekampung dan mendekati suspek berkenaan.

“Setelah didekati, suspek terkejut, memberi alasan hendak menunaikan solat jemaah dan cuba melarikan diri dengan motorsikal dibawanya, namun kami sempat mengambil kunci kenderaan itu,”katanya kepada media di sini semalam.

Mohd Fadil berkata, selesai jemaah masjid bersolat, dia memanggil mereka dan meminta motorsikal masing-masing diperiksa kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini disebabkan suspek.

Menurutnya, salah seorang jemaah menyedari terdapat kesan umpil pada kusyen tempat duduk motorsikal miliknya selain baju hujan disimpan di dalam raga motorsikal beralih seolah-olah diusik sesuatu.

“Berikutan itu, jemaah masjid bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis dan hasil siasatan terhadap suspek di lokasi kejadian mendapati suspek memiliki pelbagai peralatan elektronik meragukan.

“Suspek berusia 23 tahun itu kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran dan siasatan lanjut mendapati suspek turut memiliki dadah jenis syabu berserta peralatan elektronik dipercayai dicuri,”katanya.

Tambahnya lagi, suspek bukan orang tempatan itu turut dikenal pasti sebagai dalang menjalankan kegiatan mengumpil kusyen motorsikal jemaah di beberapa masjid di daerah Kerian bagi tujuan mencuri dompet disimpan di bawah kerusi motorsikal mereka.

“Salah seorang rakan saya turut menjadi mangsa akibat perbuatan suspek sewaktu sedang menunaikan solat subuh di Masjid Jamek Bagan Serai pagi semalam(kelmarin).

“Dengan tertangkapnya suspek, penduduk kampung berharap masalah kecurian barang disimpan motorsikal jemaah masjid diharapkan tidak berulang,”katanya.

Pengerusi PSKK, Sohaimi A Hamid menegaskan terdapat banyak aduan diterima pihaknya mengenai kegiatan suspek menjalankan kegiatan kecurian di kawasan masjid di sekitar daerah Kerian dan daerah berhampiran sejak kebelakangan ini.

“Kami mengucapkan tahniah kepada polis dan orang awam yang bertindak pantas menahan pihak bertanggungjawab.

“PSKK akan sentiasa bersedia membantu IPD Kerian dalam mengurangkan jenayah jalanan di daerah ini,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");