KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran penyokong serta pemimpin PAS dalam Himpunan Tolak GST yang diadakan di Dataran Merdeka semalam membuktikan kekuatan parti itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana jelas terbukti bahawa parti Islam itu merupakan pakar dalam menggerakkan penyokong.
Beliau berkata, pada mulanya PAS bersetuju untuk menyertai himpunan tersebut walaupun tiada kerjasama politik antara parti Islam itu dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
“Namun dalam mesyuarat jawatankuasa pusat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan kami supaya tidak menyertainya dan kami akhirnya bersetuju dengan beliau,”ujarnya, lapor mStar.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, keputusan yang diambil oleh Presiden PAS itu ternyata membawa ‘rahmat’.
“Apabila hari itu (Bersih 4) tiba, kurang 10 peratus penyokong Melayu menyertai demonstrasi tersebut.
“Tanpa PAS, demonstrasi itu telah gagal. Kita tidak pernah sedar bahawa ini merupakan kekuatan kita selama ini,”ujarnya, lapor mStar.
Semalam, Himpunan Tolak GST disifatkan sebagai gagal memandangkan jumlah kehadiran yang kecil jika dibandingkan dengan himpunan bantah GST yang diadakan Mei tahun lalu sebelum perpecahan berlaku dalam pakatan pembangkang.
Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim berkata, walaupun rakyat tidak menyertai demonstrasi yang dianjurkan, ianya tidak bermaksud rakyat tidak menyokongnya.
“Melihat kepada jumlah penyokong yang hadir, ia boleh disifatkan sebagai gagal. Tetapi ia boleh dikatakan berjaya berdasarkan isu yang mereka perjuangkan.
“Apabila rakyat tidak menyertai demonstrasi, ia tidak bermaksud mereka tidak menyokongnya,”jelas beliau.