KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi yang mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi saingan Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, awal pagi tadi gembira mengatasi keadaan yang sangat sukar untuk memenangi saingan itu.
Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia itu, berkata keadaan di litar sangat sukar tetapi dia berupaya untuk terus mengekalkan catatan sepusingan.
“Untuk perlumbaan hari ini saya sangat gembira! Keadaan di litar sangat sukar tetapi saya tetap berusaha untuk mengekalkan catatan sepusingan dan terus bertahan di depan.
“Saya memberi tekanan yang kuat pada pusingan pertama untuk melepaskan diri daripada pelumba lain.
“Ia perlumbaan yang bagus untuk saya, terima kasih semua,” katanya.
Pada perlumbaan itu, Khairul Idham mencatat masa 41 minit 35.452 saat selepas melakukan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.
Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo, masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622 saat dan 42’5.512 saat.
-Berita Harian