Sukan Hari Ini

Iskandar perlu sedia

Kuala Lumpur: Tumpuan seluruh rakyat Malaysia kini terarah kepada Datuk Lee Chong Wei yang akan beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 namun pemain lain terutama Iskandar Zulkarnain Zainuddin harus bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

Iskandar yang kini menduduki ranking ke-36 dunia berada pada kedudukan terbaik untuk beraksi di temasya itu sekiranya Chong Wei mengalami kecederaan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai, jika Chong Wei tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan tempatnya akan diisi oleh pemain perseorangan kedua terbaik negara.

“Mengikut peraturan Sukan Olimpik, pemain kedua terbaik akan mendapat slot berkenaan dengan syarat dia berada di antara 38 terbaik dunia,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Iskandar melonjak ke tangga ke-36 dunia berikutan aksi pada Terbuka Malaysia dua minggu lalu.

Dia layak hingga ke pusingan kedua selepas melepasi halangan di peringkat kelayakan dan menumpaskan pemain Indonesia, Anthony Ginting di pusingan pertama.

“Bagaimanapun, Iskandar harus berada dalam kelompok 38 terbaik dunia hingga tempoh kelayakan Olimpik berakhir awal bulan depan, barulah dia berhak untuk beraksi di temasya itu sekiranya Chong Wei mengalami kecederaan.

“Jika dia tidak berada dalam kelompok 38 terbaik dunia dan dalam masa sama Chong Wei tidak dapat beraksi di Olimpik akibat kecederaan, Malaysia tidak akan mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki,” ujar Chin Chai.

Slot itu juga tidak boleh diberikan kepada pemain beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita mahupun beregu campuran kerana peraturan Olimpik begitu ketat.

Pada 2012, Chong Wei pernah mengalami kecederaan serius sebelum beraksi di Olimpik London apabila tendon buku lali kanan terkoyak ketika beraksi mewakili negara di Piala Thomas di Wuhan, China.

Bagaimanapun, dia sempat sembuh untuk beraksi di Olimpik London sebelum meraih pingat perak selepas tumpas kepada jaguh China Lin Dan pada final.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");