Sukan Hari Ini

Jadual aksi kami lebih teruk daripada Barcelona: Gomez

Kuala Lumpur: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez menyifatkan anak buahnya teruk ‘dibelasah’ jadual padat aksi domestik dan antarabangsa malah lebih teruk daripada apa yang dilalui kelab gergasi Sepanyol Barcelona.

Beliau berkata, pasukannya yang turut bersaing dalam kempen Piala AFC terpaksa beraksi hingga 10 perlawanan sebulan sedangkan pasukan tempatan lain hanya perlu melalui lima atau enam perlawanan saja.

“Kita boleh lihat perbezaan pasukan kami kerana jadual yang padat. Pasukan lain di Malaysia hanya bermain lima atau enam perlawanan sebulan. Kami pula bermain sembilan atau 10 perlawanan.

“Ia perlawanan yang cukup banyak buat mana-mana pasukan di dunia. Malah Barcelona juga tidak bermain 10 perlawanan sebulan,” kata Gomez menerusi satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu, johorsoutherntigers.com.my semalam.

Kenyataan pengendali dari Argentina itu menyusul selepas menyaksikan skuad kendaliannya seri 1-1 dengan Kedah di Alor Setar kelmarin sekali gus menyekat hajat mereka memintas FELDA United di tangga teratas Liga Super.

Perlawanan dengan Kedah itu juga aksi ketujuh mereka dan bakal menutup kempen bulan ini dengan perlawanan menentang kelab Myanmar Ayewady United Rabu ini sebelum bertemu Kedah sekali lagi bagi separuh akhir kedua Piala FA di Larkin pada 30 April.

Gomez menegaskan barisan pemainnya bukan mesin dan jadual padat itu sememangnya memberi kesan kepada prestasi mereka.

“Sekarang kami hanya berehat sehari dan esok (hari ni) kami akan berlepas ke Myanmar. Pemain juga manusia. Mereka bukan mesin. Kajian sains membuktikan apabila manusia letih dan kekurangan oksigen dalam otak akan menyebabkan mereka sukar untuk berfikir atau beraksi dengan baik berbanding mempunyai rehat yang cukup.

“Anda boleh lihat dalam liga tempatan yang mana kami satu-satunya kelab bersaing dalam tiga pertandingan dan bermain setiap tiga hari. Kami perlu bersabar dan mengatasinya satu persatu,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");