Perak Hari Ini

JAIPk Bangunkan Modul Pengajian Kelas Guru Takmir Pertama Di Malaysia

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kini sedang membangunkan modul pengajian kelas guru takmir yang pertama di Malaysia.

Exco kerajaan negeri, Datuk Drs Nizar Zakaria (BN-Belanja) berkata, modul pengajian itu dibangunkan agar pengajian yang disampaikan lebih bersistematik dan memudahkan para jemaah memahami isi pengajian yang disampaikan.

“Insya Allah, modul pengajian kelas guru takmir akan dilancarkan pada akhir tahun ini merangkumi subjek tauhid, fiqah, tafsir, hadis, tasawuf dan sirah.

“Kerajaan negeri dibawah JAIPk telah menerapkan pemahaman dan penghayatan kepada guru-guru takmir dan dakwah melalui pertemuan dan kelas-kelas tafaqquh fid din di peringkat negeri dan daerah,”katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) dalam sidang Dewan Negeri, hari ini.

Ujarnya lagi, JAIPk telah menganjurkan sebanyak 13 kali kelas tafaqquh fid din kepada guru-guru takmir dan dakwah.

Nizar berkata, kerajaan negeri melalui JAIPk juga telah menggariskan objektif strategik yang mengangkat perpaduan dan silaturrahim serta berakhlak mulia dalam setiap agenda dakwah ke arah pembentukan khairaummah (umat terbaik) yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

“Di bawah objektif ini, beberapa indikator telah pun dirangka dan dilaksanakan seperti menyediakan modul pembelajaran akhlak iaitu Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI), menubuhkan Jawatankuasa Khas Dakwah dengan kerjasama pihak IPTA, IPTS, NGO dan agensi kerajaan.

“Selain itu ialah menyediakan modul dakwah yang bersifat komprehensif kepada masyarakat umum dan memperkasakan institusi keluarga melalui pelaksanaan kursus pra dan pasca perkahwinan untuk membina rumah tangga yang harmoni yang akhirnya terbentuk sebuah masyarakat yang berakhlak mulia,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");