Sukan Hari Ini

JDT optimis di laman sendiri

JUARA Liga Super 2015, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) nekad akhiri aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA, di Larkin malam ini tanpa sebarang masalah dan tekanan yang tinggi.

Penyerangnya, Safee Sali yakin Harimau Selatan tidak berdepan sebarang masalah untuk berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih-lebih lagi bakal beraksi di laman sendiri.

Menurutnya, keyakinan tersebut mula dizahirkan berdasarkan rekod cemerlang pasukan pada musim ini, di mana masih belum tewas dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC setiap kali beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini.

“Buat masa ini, kami cuma serahkan segala percaturan kepada jurulatih (Mario Gomez) dan mematuhi segala taktikal yang dirancang olehnya.

“Rakan sepasukan juga berada dalam keadaan fizikal yang baik, apatah lagi selepas berjaya membawa kelebihan gol dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka 19 Mac lalu.” katanya.

Safee turut berpendapat, berdasarkan kekuatan antara kedua-dua pasukan, sememangnya lebih memihak kepada JDT kerana mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan, namun ia bukanlah alasan untuk pasukan untuk mengambil mudah perlawanan tersebut.

“Tekanan yang dihadapi tidaklah terlalu berat. Kami juga kebal apabila beraksi di sini dan masih belum ditewaskan lagi musim ini. Sudah pasti kami akan cuba mengekalkan rekod bersih yang sedang ditempa ini,” katanya.

Sementara itu, Safee turut mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak terlalu memandang rendah keupayaan lawan yang akan cuba mencari jalan menghidupkan sisa peluang mereka untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

“Sudah tentu PDRM bukanlah lawan mudah dan mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Oleh itu, kami perlu berhati-hati bagi memastikan pasukan mampu menempah slot ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Terdahulu, dalam aksi pertama suku akhir Piala FA yang lalu, Juan Martin Lucero muncul wira pasukan apabila berjaya menyempurnakan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti, sekali gus memberi kelebihan buat pasukan kendalian Mario Gomez.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");