Sukan Hari Ini

Jin Wei kian teruja bersaing

Kuala Lumpur: Juara remaja dunia Goh Jin Wei (gambar) tidak sabar turun beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Wuhan, China bermula hari ini walaupun sedar berdepan laluan sukar serta perlu melepasi pusingan kelayakan.

Jin Wei yang berusia 16 tahun akan memulakan kempen kejohanan itu pada peringkat kelayakan dalam Kumpulan B bersama pemain Singapura, Chen Jiayuan dan Lekha Shehani dari Sri Lanka.

Jika berjaya menumpaskan kedua-dua pemain itu dia berpeluang untuk menyertai pemain perseorangan utama negara Tee Jing Yi dalam undian utama.

Bagaimanapun berdasarkan undian dia akan mengharungi cabaran lebih sengit jika ke undian utama apabila berdepan pemain nombor 11 dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun pada pusingan pertama.

Menurut pemain dari Pulau Pinang itu, sebelum ini dia amat gembira apabila dipilih menyertai ABC kerana mempunyai peluang untuk membuat perbandingan keupayaan sebenar dirinya dengan beberapa pemain terbaik dunia.

“Saya harap dapat mempamerkan prestasi sebenar supaya saya dapat mengetahui sendiri di mana kekurangan yang boleh dibaiki,” kata Jin Wei kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, tiada sebarang sasaran utama yang ditetapkan dalam kejohanan itu.

“Setakat ini, apa yang saya nampak kelemahan saya adalah dari segi taktik dan strategi terutama ketika berada di gelanggang,” katanya yang muncul juara remaja dunia tahun lalu di Peru selepas menumpaskan rakan senegara Lee Ying Ying.

ABC juga akan menjadi medan terakhir buat pemain senior untuk menambah pungutan mata kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 yang akan tamat pada 1 Mei ini.

Juara Terbuka Malaysia, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai cabaran negara diiringi dua lagi pemain muda negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pemain bebas Zulfadli Zulkiffli bagi acara perseorangan lelaki.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");