Sukan Hari Ini

Juve juara Serie A kali ke-5 berturut-turut

Rome: Juventus menjulang lima gelaran Serie A berturut-turut dengan baki tiga perlawanan apabila Napoli tewas 0-1 kepada AS Roma awal pagi semalam, memastikan kempen mereka berakhir sempurna selepas permulaan sukar musim ini.

Juventus menang 2-1 ke atas Fiorentina kelmarin dan Napoli hanya perlu menewaskan Roma bagi mengelak skuad Bianconeri daripada meraikan kejayaan itu.

Ini kali pertama sebuah pasukan menjuarai Serie A selepas tewas empat daripada 10 perlawanan awal.

“Saya sentiasa katakan anda bangkit berikutan kegagalan jadi selepas melihat laluan kami musim ini, saya berasa lebih bangga,” tulis pengurus Juventus Massimiliano Allegri di Twitter.

Allegri turut mengepilkan mesej Twitter yang dibuat pada Ogos: “Serie A bukan final acara 100 meter, ia sebuah acara maraton: Anda perlu bersabar untuk mendapatkan rentak yang tepat.”

Radja Nainggolan menjaringkan gol buat Roma seminit sebelum tamat menerusi gerakan yang dimulakan kapten Roma Francesco Totti, 39.

Juventus mendahului Napoli dengan 12 mata manakala Roma ketinggalan dua mata dalam saingan sengit merebut tempat kedua dan tiket automatik terakhir ke Liga Juara-Juara.

“Kini kami perlu menang semua baki perlawanan,” kata Nainggolan.

Ia gelaran scudetto ke-32 buat Juventus, tidak termasuk dua gelaran yang ditarik balik berikutan skandal mengatur perlawanan pada 2006 yang dikenali sebagai Calciopoli. -AP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");