Berita Hari Ini

Kaji semula prosedur berpoligami

ALOR SETAR – Kesediaan kerajaan negeri dan pihak tertentu mengkaji semula prosedur permohonan dan pengesahan berpoligami adalah usaha positif dalam menangani masalah pasangan bernikah di sempadan sehingga terjebak dalam sindiket nikah tidak diiktiraf.

Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kedah dan prosedur sedia ada masih relevan dan mampu menangani serta melaksanakannya, namun sekiranya perlu dibuat penambahbaikan untuk disesuaikan dengan kehendak semasa, ia wajar dilakukan.

“Mungkin pada aspek tertentu boleh diperbaiki dalam mempercepatkan proses permohonannya. Hal ini perlu diteliti pada setiap sisi perundangan dan pentadbiran. Namun yang lebih utama adalah faktor manusia, iaitu suami dan isteri, termasuk kemampuan dan kelayakan suami menjalankan tanggungjawab selaku ketua keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid menegaskan kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Hakim Syarie Kedah dan Penasihat Undang-undang Kedah untuk meneliti aspek perundangan bersesuaian bagi melonggarkan peraturan sedia ada.

Ini bagi mengelak pasangan dari negeri ini memilih Thailand sebagai lokasi pernikahan tanpa kebenaran berpoligami atau terjebak poligami ekspres tidak bertauliah, yang dianggarkan mencecah lebih 2,000 kes di Kedah.

Syeikh Marwazi berkata, perkahwinan pertama atau kali kedua dan seterusnya untuk berpoligami di sempadan atau ‘kahwin lari’ adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, iaitu berkahwin tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

“Pasangan yang berkahwin di sempadan mengundang pelbagai risiko. Mereka mudah terjebak atau terpedaya dengan sindiket, yang menawarkan pakej murah, sekali gus terdedah kepada penipuan,” katanya.

Menurutnya, dibimbangi pasangan terbabit dibawa ke tempat tidak bertauliah atau tidak diiktiraf pihak berkuasa agama tempatan.

“Jika itu berlaku, maka hukum perkahwinan itu adalah tidak sah di sisi syarak, ini mengakibatkan kesan negatif berpanjangan,” katanya.

Syeikh Marwazi berkata, pasangan berkenaan hendaklah mengesahkan semula perkahwinan mereka di mana-mana mahkamah syariah di Kedah.

“Ini sangat penting dan jangan pandang remeh. Jika tidak membuat pengesahan, pasangan meneruskan perkahwinan itu dan tidak diketahui status perkahwinannya, maka mereka berkemungkinan tinggal dalam keadaan tidak sah di sisi syarak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin di sempadan berusaha terlebih dahulu mengatasi masalah berbangkit ketika proses lamaran atau tempoh pertunangan kerana Islam menganjurkan kesederhanaan.

“Fenomena inilah meletakkan lelaki dalam keadaan keliru antara mencapai matlamat perkahwinan atau memenuhi desakan perkahwinan. Akhirnya mereka terjebak dalam kancah hutang yang serius. Ini termasuk majlis kenduri, yang dilihat semata-mata untuk menjaga status,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");