Sukan Hari Ini

Kecewa prestasi skuad Terengganu

BELUM reda isu kekecewaan yang disuarakan penyokong berhubung prestasi skuad Penyu, kini kerajaan negeri pula melaungkan ‘amaran keras’ kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) supaya segera memperbaiki prestasi pasukan atau berdepan rombakan badan induk bola sepak terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, PBSNT akan diberi peluang terakhir membuktikan kemampuan sebenar mereka ketika bertemu Perak di gelanggang sendiri, Selasa ini.

Menurutnya, jika prestasi pasukan masih sama seperti ketika skuad Penyu dibelasah Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka pihaknya tidak teragak-agak menggesa PBSNT mengadakan mesyuarat agung tergempar atau melalui rombakan yang dirasakan perlu bagi memastikan prestasi pasukan dapat segera dipulihkan.

“Kita (kerajaan negeri) memandang serius kemerosotan prestasi skuad Penyu dan permasalahan itu (prestasi) masih juga berlaku. Kita bukannya tidak boleh menerima kekalahan tetapi corak permainan yang ditonjolkan amat mengecewakan.

“Saya tidak tahu sama ada mereka ada masalah di peringkat dalaman atau sebaliknya, tetapi kita mahu mereka mengambil tindakan segera menangani apa jua yang berlaku dan ini adalah peluang terakhir buat PBSNT untuk memulihkan kembali reputasi skuad Penyu,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengenai prestasi Terengganu FC II (TFC II), Rozi amat berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu apabila memperbaiki kedudukan sehingga berada di atas pasukan Terengganu biarpun berkongsi sembilan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Katanya, walaupun bermula agak perlahan, namun The Titans kini t berjaya mencapai keserasian selepas mereka mula meraih kemenangan ketika menundukkan Kelantan dan Sarawak tempoh hari.

“Sekarang ini saya lihat pasukan ini (TFC II) walaupun masih belum menunjukkan kecemerlangan sebenar tetapi mereka sudah menampakkan keserasian dalam permainan.

“Saya amat beryakinan sekiranya prestasi sebegini dapat terus dikekalkan, maka tidak mustahil dalam masa dua tahun akan datang, pasukan ini (TFC II) mampu menjadi pencabar utama Liga Malaysia,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");