KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan komited untuk meningkatkan kompetensi pelajar secara menyeluruh dengan menyediakan prasarana pendidikan yang berkualiti demi memenuhi keperluan negara masa kini.
Justeru, beliau dalam lawatannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong di Sarawak baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan sebuah program perintis untuk negeri itu.
Jelasnya, program tersebut diberi nama Program Pembekalan Komputer Riba untuk pelajar tingkatan lima di Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan sekitar Sarawak.
“Ini merupakan suatu langkah untuk membantu persediaan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Program perintis ini akan terlebih dahulu memantau peningkatan di dalam pencapaian akademik dan kemahiran ICT pelajar bagi ditentukan keberhasilannya,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman blognya, NajibRazak.com, semalam.
Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan di SK Sungai Ladong berkenaan.
Tambahnya, banyak kemajuan dilihat dalam projek penambaikan tersebut berbanding sewaktu beliau mengadakan lawatan ke sekolah itu pada 31 Januari yang lalu.
Dalam lawatan Najib sebelum ini, beliau telah mengarahkan penambahbaikan dibuat dengan segera setelah melihat bangunan sekolah tersebut tidak lagi selamat akibat hakisan tanah.
Selain itu, katanya lagi, kemudahan dan peralatan asas juga mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik.
“Saya kembali melawat SK Sungai Ladong di Simunjan, Sarawak untuk melihat kemajuan projek penambahbaikan ini.
“Alhamdulillah, walaupun berdepan dengan pelbagai kerumitan, dari segi logistik, cuaca mahupun struktur tanah, sebuah bangunan sekolah yang baru telah siap dibina dalam masa hanya tujuh minggu, dan ia kini sedia untuk digunakan,” katanya lagi.
Ujarnya, bangunan baru tersebut dibina di atas tiang pertahanan yang lebih tinggi untuk mengelak daripada dilanda air pasang.
“Ia dilengkapi dengan enam buah kelas tambahan dengan perabot serba baru, dua kuarters guru, sebuah makmal sains moden dan sebuah astaka bagi kegunaan aktiviti kurikulum tambahan.
“Syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini,” katanya lagi.
Gambar:- Blog NajibRazak.com