Membawang Hari Ini

Kerja keras pada usia muda

Baru berusia 15 tahun, tetapi penyanyi remaja Filipina, Darren Espanto sudah merangkul 33 anugerah sepanjang dua tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian.

Apa yang dimiliki itu adalah hasil kerja kerasnya selepas menjuarai pertandingan realiti The Voice Kids Filipina pada 2014.

“Saya sangat bangga dan bersyukur dengan apa diperoleh. Saya sendiri tidak menyangka dapat mengumpul anugerah sebanyak itu dalam tempoh dua tahun ini.

“Bukan apa, saya menjadi penyanyi kerana minat. Jika ada persaingan pun, ia jatuh nombor dua. Saya hanya mahu berkongsi bakat dimiliki dengan seluruh masyarakat Filipina dan luar negara,” katanya.

Menurut Darren atau nama sebenarnya Darren Lyndon Gonzales Espanto, dia semakin seronok dengan apa dilakukan sekarang apatah lagi bakatnya diterima di beberapa negara luar seperti Kanada, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Saya tidak mahu mendabik dada sebaliknya setiap peluang diberikan saya manfaatkan sebaik-baiknya. Lagipun, jika bukan sekarang bila lagi saya mahu lakukan?

“Pada masa sama, saya terfikir tidak salah sekira­nya bekerja keras pada usia muda ini. Sekurang-kurangnya peminat boleh membesar dengan lagu saya.

“Saya seronok dengan apa yang dilakukan sekarang. Selain memenuhi banyak undangan nyanyian, saya juga dapat mengumpul peminat,” katanya.

Pada masa sama, Darren yang dilahirkan di Kanada turut memasang impian mengadakan persembahan di Malaysia dan berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Mengenai kerjaya se­ninya, Darren berkata, tidak ada apa perlu dikesalkan apabila bekerja pada usia muda sedangkan remaja seusia dengannya bebas menjalani hidup masing-masing.

Bagi pemenang Artis Lelaki Pilihan pada MYX Music Awards di Filipina baru-baru ini, dia sentiasa membahagikan masa dengan sebaik-baiknya di samping memantau dan melihat perkembangan kerjayanya.

Disebabkan itu, Darren dijadikan contoh dan ikon dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai cita-cita sepertinya.

“Saya sentiasa mengambil berat apa yang dilakukan. Saya juga tidak mahu bersikap lepas tangan sehingga akhirnya akan mendatangkan masalah lain.

“Justeru, apa saja nasihat dan kritikan daripada peminat saya terima dengan terbuka. Saya tahu ketika ini mereka memandang setiap gerak-geri saya. Jadi apa saya perlu lakukan adalah berhati-hati,” katanya.

Bangga dua lagu ciptaan dimuatkan dalam album

Berbekalkan album pertama berjudul Darren yang dilancarkan pada Disember 2014 ternyata membuahkan hasil untuk kerjayanya.

Malah, Darren yang mempertaruhkan lagu I Belive In Me turut berjaya merangkul anugerah Wish Ballad Song of The Year pada anugerah WISH 107.5 Music Awards 2016.

Bertitik tolak dari situ, Darren kini dalam proses menyiapkan album kedua yang dijangka siap bulan depan.

“Menerusi album kedua ini, saya menghasilkan dua lagu sendiri. Saya sangat gembira kerana syarikat rakaman bersetuju memasukkan lagu ciptaan saya.

“Walaupun memberikan lima lagu, tetapi apabila dua daripadanya terpilih ia satu pencapaian terbaik saya,” katanya.

Menurut Darren, album kedua ini mengandungi 10 lagu dengan mengekalkan genre sama seperti pop, balada dan EDM (electronic dance music).

“Saya menjadikan mendiang Michael Jackson sebagai idola. Dia penyanyi yang ‘versatile’ dan berjaya dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Saya banyak menonton persembahannya dan belajar daripada situ bagaimana menjadi penghibur berjaya. Pendek kata, dia adalah inspirasi saya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");