Kenangan dan ingatan terhadap Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang kembali ke rahmatullah tujuh tahun lalu tidak pernah hilang daripada memori Azadan Abdul Aziz kerana ketika hayat Allahyarham, ke mana jua pasti bersama. Persahabatan mereka boleh diibaratkan seperti ‘abang adik’.
Kehilangan Asri turut dirasai semua anggota Rabbani, namun mereka tabahkan hati untuk menerima ketentuan Ilahi. Masa terus berlalu, namun bayangan Asri tidak pernah luput daripada ingatan mereka, malah dirasakan seakan-akan dia ada masih bersama mereka.
Baru-baru ini, Azadan mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah dengan adik Ustaz Asri iaitu Ustaz Ghazali Ibrahim dan mereka menginap di bilik yang sama. Suatu hari sebaik saja terjaga, Azadan terkejut kerana daripada belakang, susuk tubuh gempal Ghazali yang tidur di katil sebelahnya kelihatan seperti Asri.
“Saya menggosok mata beberapa kali kerana terbayangkan Ustaz Asri di katil sebelah sehinggalah Ustaz Ghazali berpaling ke arah saya, saya seperti terjaga daripada mimpi. Sudah tujuh tahun dia pergi tetapi sukar sekali untuk melupakannya,” katanya.
Hubungan Azadan dan Ghazali kembali terjalin erat apabila pendakwah serta penceramah bebas itu mempelawa Azadan mengerjakan umrah dengan agensi umrah miliknya, Muhibbin Holiday Sdn Bhd, Mac lalu. Bukan itu saja, Azadan juga diberi tanggungjawab menjadi ketua rombongan kerana ada dua rombongan yang berangkat.
Menceritakan pengalamannya pergi ke umrah dengan agensi itu, jelas Azadan, perjalanan daripada awal sehingga akhir lancar dan selesa.
“Barangkali pengalaman Ustaz Ghazali yang begitu luas dalam urusan haji dan umrah, menyebabkan dia amat memahami keperluan jemaah. Ketika berada di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) lagi segala urusan berjalan lancar sehinggalah sampai ke Madinah dan Makkah.
“Sama ada di Madinah atau Makkah, Ustaz Ghazali tidak mengadakan tazkirah kerana mahu memberi masa secukupnya kepada jemaah beribadah. Bagaimanapun, dia tidak ‘melepaskan’ jemaahnya begitu saja. Mereka boleh bertanyakan sebarang kemusykilan dengannya pada bila-bila masa.
“Cara itu lebih membuatkan jemaah selesa dan tidak segan bertanyakan walaupun perkara bersifat peribadi. Insya-Allah saya akan terus bekerjasama dengan Ustaz Ghazali membawa dan membimbing jemaah mengerjakan umrah, tetapi saya akan kekal bersama Rabbani. Kepada Ustaz Ghazali sudah saya maklumkan perkara itu dan alhamdulillah dia memahami,” katanya.
Azadan juga baru dilantik duta produk kesihatan dan penjagaan diri berasaskan daun bidara.
Terbitkan album baru
Perkembangan lain, Rabbani kini dalam studio rakaman menyiapkan album baru mereka. Sekali lagi kumpulan nasyid itu bekerjasama dengan Edry KRU. Jelas Azadan, pada 2001, menerusi lagu ciptaan komposer itu, Intifadah dan Pergi Tak Kembali, yang berkonsepkan ‘world music’ berjaya mencetuskan fenomena kepada Rabbani.
“Kedua-dua lagu itu turut diminati pendengar remaja dan kali ini sempena ulang tahun ke-19 penubuhan Rabbani kami berharap lagu dan lirik Edry berjudul Yang Benar sekali lagi mencetuskan situasi sama.
“Kami mahu bangkit semula dengan lagu yang segar agar dapat terus bertahan dalam arus perdana muzik tanah air. Rabbani yakin Yang Benar akan berjaya mengangkat semula nama Rabbani dalam kalangan peminat lagu nasyid. Kami beri seluas-luasnya ruang kepada Edry berkarya,” katanya.
Album itu memuatkan 10 lagu yang menyisipkan empat lagu baru, satu medley selawat dan lima lagu popular yang dimuatkan dalam album terdahulu. Menariknya untuk album ini juga, Rabbani berduet dengan Black.
“Selain Black ada beberapa artis lain yang kami senaraikan dan daripada pemilihan peminat, mereka mahu Rabbani berduet dengan Black.
“Benar seperti yang saya dengar daripada orang lain, senang bekerja dengan penyanyi itu yang sangat mesra. Rakaman suara Black siap dalam masa sehari saja, tinggal bahagian vokal Rabbani saja belum siap,” katanya.
Jelas Azadan lagi, Rabbani gagahkan diri mengeluarkan duit sendiri untuk menyiapkan keseluruhan proses pembikinan album itu memandangkan album penuh terakhir mereka diterbitkan pada 2009 berjudul Mahabbah. Album baru itu akan dipasarkan menjelang Ramadan ini.
Di samping itu dalam tempoh enam tahun selepas ketiadaan Asri, Rabbani merakamkan single berjudul Mawar Berdarah, ciptaan sepenuhnya Allahyarham Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin dan lagu itu dimenang pada Anugerah Industri Muzik 2013.
Selain itu Rabbani aktif menganjurkan pelbagai festival Islamik dan menyediakan perkhidmatan menyewa sistem bunyi untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Rabbani.
-Harian Metro