Panasnya Hari Ini

Khairuddin Desak Tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Siasat 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas ahli UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini mendesak agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci mengapa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baru tujuh tahun ditubuhkan telah berhutang sehingga RM50 bilion.

Dalam masa yang sama, Khairuddin berkata, rakyat kini merasa pelik kerana laporan Ketua Audit Negara masih diklasifikasikan dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak dibentangkan secara terbuka semalam di Parlimen.

“Apa kandungan laporan Ketua Audit Negara? Rakyat berminat untuk mengetahui hakikat faktanya.

“Kenapa nak sorok lagi? Apa yang takut sangat sekiranya tiada unsur salahlaku berlaku dalam urus tadbir syarikat 1MDB sepertimana yang diperkatakan oleh (Datuk Seri ) Najib Tun Razak,”ujarnya dalam status terbaru di Facebook beliau, hari ini.

Jelas bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu lagi, isu skandal 1MDB mesti diselesaikan secara lebih terbuka mengikut lunas undang-undang.

Ini kerana, laporan-laporan dari luar negara telah membuktikan bahawa wujudnya unsur-unsur pengubahan wang haram melalui penggunaan bank-bank dari Switzerland dan Amerika Syarikat.

“Sebab itu saya buat laporan di lima negara di luar negara memohon pihak penguatkuasa undang-undang di Switzerland, Hong Kong, Singapura, London dan Perancis menyiasat kesalahan pengubahan wang haram.

“Saya juga ingin mencabar Peguam Negara agar membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan semua bahan bukti dari pejabat peguam negara Switzerland,”cabar beliau.

Dalam masa yang sama, Khairuddin turut berkata, Najib dan keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB mesti disiasat oleh polis dan SPRM secara telus serta bebas tanpa campur tangan dari mana-mana pihak.

“Kerajaan Najib mesti akur dan berpegang pada nasihat Majlis Raja-raja Melayu yang mahukan kes polemik skandal 1MDB disiasat secara telus, adil serta saksama tanpa campur tangan orang-orang politik,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");