Membawang Hari Ini

Konsert Ella 2016 menyengat

DI saat muzik luar semakin meresapi halwa telinga pendengar tempatan, siapa sangka ratu rock negara, Ella masih berjaya mempertahankan pengaruhnya dalam industri seni tanah air.

Biarpun 10 tahun tidak pernah tampil dengan sebarang persembahan berskala besar, namun peminat tegarnya tidak pernah berhenti daripada menyokong penyanyi kesayangan mereka ini.

Ini terbukti, apabila Konsert Ella 2016 yang berlangsung pada malam Sabtu lalu di Stadium Malawati, Shah Alam berjaya menghimpunkan hampir 8,000 peminatnya yang datang dari seluruh negara.

Konsert itu juga tidak hanya menyaksikan kehadiran peminat Ella sendiri, malah beberapa artis tempatan seperti Fasha Sandha, Erra Fazira, Jihan Muse dan Farahdhiya turut hadir memberi sokongan.

Tepat jam 9 malam, konsert yang rata-ratanya dipenuhi penonton yang hadir berpakaian putih mula membuka tirainya dengan penampilan penyanyi undangan Kaka Azraff dan Bunkface yang mana masing-masing menyampaikan dua lagu seperti Bukan Hal Aku, Standing In The Eyes Of The World, Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda.

Perhatian peminat tertumpu pada skrin pentas dengan gimik persembahan yang menyaksikan Ella ditemani suaminya, Azhar Ghazali menaiki helikopter ke lokasi konsert sebelum ratu rock itu muncul di pentas menyapa peminatnya dengan lagu Permata Biru, Justeru, Bendera Damai dan Pengemis Cinta.

“Anda semua adalah permata. Anda adalah permata diri saya buat selamanya!,” sapa Ella kepada peminatnya.

Persembahan Ella pada malam itu diiringi pemuzik, Fly (bass), Ridz (gitaris), Roza Rio (keyboard), Ainol (drum) dan Man Kidal selaku pengarah muzik.

Lebih menghangatkan setiap persembahan, Ella turut mengundang teman lamanya seperti Lord, Kyoji Yamamoto, Joe Wings, Edrie Hashim dan Hilary Ang. Petikan gitar yang dipersembahkan mereka berjaya memukau penonton.

Ligat di pentas

Seperti yang dijanjikan Ella, konsert yang berlangsung selama dua jam lebih itu berjaya mengembalikan nostalgia peminat dengan seleksi lagu seperti Cinta Selembut Sutera, Pergilah Sayang lagu duet bersama Korie, Rindu, Mungkin, Semi, Menanti dan banyak lagi.

Lagu-lagu hit yang dinyanyikan juga telah membuai perasaan penonton sekali gus dapat mengubati kerinduan peminat terhadap dirinya.

Tidak hanya seleksi lagu, peminat turut terpegun menyaksikan kelincahannya menguasai pentas serta kemantapan vokal Ella yang masih berbisa.

Sememangnya gelaran ratu rock itu masih gah buatnya.

Sebagai kelainan, konsert kali ini turut menyaksikan penampilan istimewa suaminya berduet menyampaikan lagu Mendung Tak Berarti Hujan yang membangkitkan suasana romantis pasangan itu.

Lebih kurang jam 12.30 malam, konsert menutup tirai dengan nyanyian lagu Gemilang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");