Jenayah

Kutip kaki putus

Karak: Orang ramai terpaksa mengutip kaki kiri kelindan lori yang putus akibat kemalangan sebelum memasukkannya ke dalam kotak.

Dalam kejadian kemalangan jam 11.27 pagi semalam, mangsa kelindan lori, Thein Hlaing, 42, hilang kaki kiri sejurus lori dinaiki hilang kawalan di Lebuhraya Karak berhampiran Rehat dan Rawat (RnR) Lanchang, di sini.

Mangsa dikatakan berada di sebelah pemandu lori yang membawa muatan tong gas dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan pihaknya mendapati lori dipandu Mohd Faizal Zainudin, 30, hilang kawalan berikutan mengalami masalah teknikal pada stereng sebelum merempuh tembok batu di bahagian kiri lebuh raya.

“Lori itu berpusing dan masuk semula ke lebuh raya di lorong kanan. Pada masa sama kereta Volkswagen Polo dan motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh lori,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan kaki kelindan lori itu tersepit pada badan lori ketika kenderaan itu merempuh tembok batu yang berada di kiri jalan.

“Turut cedera dalam kemalangan itu penunggang motosikal Yamaha LC yang dikatakan tidak sempat mengelak lori berkenaan menyebabkan lelaki itu cedera pada muka dan patah kaki.

“Penunggang motosikal Mohamad Zulkifli Che Wan, 24, dari Bentong cedera di muka dan patah kaki. Manakala pemandu lori dan pemandu kereta hanya cedera ringan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu pelukis pelan, Azmi Awang Ngah, 40, yang memandu kereta terselamat apabila sempat mengelak tong gas yang bertaburan di atas jalan sejurus kemalangan.

Katanya, lori itu terbabas ke kiri merempuh tembok batu, namun berpusing masuk semula ke laluan asal sebelum pemandu dan penunggang motosikal merempuh kenderaan berkenaan.

“Saya memandu berhati-hati bagi mengelak melanggar tong gas yang bertaburan di atas jalan sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");