Berita Hari Ini

Laporan 1MDB: Abim gesa tarik balik kerahsiaan

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Dewan Rakyat menarik balik klasifikasi rahsia yang dikenakan ke atas laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Ketua Audit Negara.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim menegaskan gesaan itu adalah susulan daripada laporan diketengahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kelemahan pentadbiran serta pengurusan 1MDB seperti yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu.

Menurutnya, pembentangan yang turut disiarkan kepada masyarakat awam itu menimbulkan pelbagai persoalan kepada rakyat yang prihatin.

Malah, katanya, gesaan agar laporan Ketua Audit Negara dijadikan sebagai dokumen awam juga dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Sekiranya dokumen laporan itu diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam ia membolehkan ahli Dewan Rakyat, badan-badan kerajaan berkenaan serta rakyat menjadikannya sebagai sumber rujukan serta perbandingan bagi mengesahkan dengan laporan PAC.

“Memandangkan implikasi kewangan yang sangat mendalam akibat daripada polemik 1MDB, Abim menggesa agar badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penyiasatan diberi ruang sepenuhnya untuk menyiasat dengan lebih lanjut Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat 1MDB,” katanya.

Menurutnya, siasatan bebas itu sangat penting memandangkan isu berkenaan telah menjadi topik perbincangan utama di kalangan masyarakat antarabangsa yang dilihat menjatuhkan maruah negara.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");