IPOH: Lebih daripada 1,000 ahli veteran UMNO Negeri Perak telah melafazkan Deklarasi Akujanji Sokongan dan Kesetiaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Deklarasi tersebut telah dilafazkan dalam majlis Himpunan Veteran UMNO Negeri Perak 2016 yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, pagi tadi.
Turut hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia yang juga bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir dan barisan Exco Negeri.
Tajol Rosli berkata, program seumpama itu tidak mungkin boleh diadakan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
“Jadi, jika kita Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri boleh memberikan kerjasama, kita boleh mengadakan di negeri-negeri lain,”ujarnya ketika ditemui.
Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perak itu turut mengulas mengenai tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus lantang mengkritik UMNO walaupun sudah keluar daripada parti Melayu tersebut.
“Bila dia (Tun Mahathir) dah keluar dari UMNO, saya tak perlu jelaskan. Dia dah keluar UMNO, habislah.
“Yang kita pertikai ini ialah apabila seseorang itu ahli UMNO, bersekongkol dengan pembangkang untuk mengkritik UMNO dan kepimpinan UMNO. Tapi kalau dia dah keluar dari UMNO, dia macam pembangkanglah,”ujarnya.
Katanya lagi, beliau tidak menafikan krisis yang berlaku dalam UMNO sedikit sebanyak menjejaskan parti itu, namun UMNO tetap akan terus kukuh selepas krisis tersebut berakhir.
“Macam kita campak batu ke dalam air, mesti ada percikan, kalau batu yang besar dicampak, besarlah percikan. Tapi selepas itu kita nampak air tadi kembali tenang.
“Kalau ada yang kata tidak terjejas, mesti terjejas.. Tapi yang lebih terjejas sekarang ini ialah mereka yang masih ahli UMNO bersekongkol dengan pembangkang. Mereka ini kena nyatakan pendirian mereka,”tegasnya.
Tajol Rosli turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berdiri dengan pembangkang perlu tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya mereka mengkritik parti secara terbuka.
“Mereka juga pernah jadi pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO. Kalau waktu mereka jadi pemimpin, perkara seumpama ini berlaku, apa tindakan mereka? Jadi tak perlu saya jawab,”ujarnya.
Sementara itu, Zambry ketika ditemui selepas majlis tersebut menyatakan penghargaannya kepada ahli-ahli veteran UMNO yang masih tetap memberi sokongan kepada parti ketika ia sedang melalui ujian pada ketika ini.
“Dengan dokongan yang ditunjukkan pada hari ini, saya percaya bahawa kekuatan UMNO di Perak adalah contoh yang terbaik dimana parti sentiasa menjadi keutamaan kita.
“Sebab itu, jarang sekali kita mendengar masalah di Perak yang melibatkan krisis-krisis politik bahagian dan politik negeri kerana kita sentiasa mengutamakan perpaduan dan kekukuhan di kalangan ahli parti dan juga pimpinan parti,”ujarnya.