Jenayah

Lunas dendam rakan tak lawat di penjara

Batu Pahat: Hanya kerana tidak melawatnya ketika meringkuk di dalam penjara beberapa tahun lalu, dua penjenayah memecah masuk rumah rakannya di Kampung Sin Lik, Yong Peng di sini, awal pagi Ahad lalu dan menyapu licin semua barangan di dalam rumah terbabit.

Malah, mangsa berusia 40 tahun itu berputih mata apabila rumahnya ditinggalkan kosong selepas penjenayah melarikan hampir keseluruhan barang termasuk televisyen, komputer riba, telefon bimbit, penapis air, alat pemancar imej dan joran bernilai RM15,000.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi apabila mangsa bersama isteri dan anaknya tiada di rumah.

Menurutnya, dua suspek lelaki berusia 38 dan 41 tahun itu mengumpil tingkap bilik hadapan sebelum menyelinap masuk.
“Suspek turut membawa lori untuk melarikan semua barang.

“Mangsa yang menyedari kejadian itu keesokan harinya tergamam apabila hampir keseluruhan rumah mereka kosong,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, semalam.

Menurut Din, pemeriksaan terhadap rumah terbabit juga mendapati suspek yang keluar penjara lebih sebulan lalu itu menyimbah air sabun ke keseluruhan rumah terbabit dipercayai untuk menghapuskan kesan cap jari dan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) mereka bagi mengelak dikesan.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka ditahan apabila polis menyerbu rumah di Yong Peng, petang Selasa lalu. Pemeriksaan di dalam rumah itu mendapati ada barangan curi seperti dilaporkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kes bermotifkan dendam kerana seorang suspek kecewa kerana mangsa tidak pernah melawatnya sepanjang dipenjarakan berhubung kes samun dan ugut.

“Suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang boleh dihukum penjara tidak kurang 14 tahun atau denda,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");