Panasnya Hari Ini

Majikan Terkilan, Tertipu Dengan Perkhidmatan MyEG

KUALA LUMPUR: Seorang majikan mendakwa dirinya ditipu oleh agensi yang menguruskan pekerja asing, MyEG Services Berhad apabila agensi tersebut tidak akan memproses permohonan bagi Penggajian Semula Pekerja Asing walaupun beliau sudah membuat bayaran sebanyak RM1,134.

Menceritakan kembali kejadian itu, individu yang hanya ingin dikenali sebagai Febby, mendakwa beliau telah kerugian sebanyak RM1,134 apabila membuat bayaran terhadap pemohonan itu.

Bertambah malang, beliau juga tidak mendapat layanan yang setimpal malah bayaran itu tidak boleh dikembalikan berikutan polisi syarikat itu.

“Selepas membuat bayaran sebanyak RM1,134, saya telah menerima panggilan daripada MyEg yang mengatakan bahawa mereka tidak akan memproses permohonan saya kerana mereka tidak mengendalikan penggajian semula pekerja asing daripada Indonesia.

“Ianya diproses oleh sebuah lagi syarikat yang dilantik oleh kerajaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau telah bertindak menuntut MyEG mengembalikan semula wangnya semula kerana tidak menerima sebarang bentuk perkhidmatan malah MyEG juga telah menolak permohonannya.

“Dalam ertikata lain, tidak ada sebarang kos kepada MyEG seperti tenaga kerja atau yuran bayaran kepada kerajaan.

“MyEG telah memberitahu bahawa polisi syarikat mereka tidak akan memulangkan semula wang yang telah dibayar.

“Ini merupakan satu polisi bodoh dan dangkal kerana di pihak MyEG, mereka masih belum memberikan apa-apa perkhidmatan kepada saya,” katanya

Tambahnya lagi, MyEG telah bertindak menghubunginya melalui seorang pegawai yang bercakap dalam nada yang cukup kurang sopan.

“Pegawai tersebut cuba meyakinkan saya bahawa tindakan myEG untuk tidak memulangkan wang saya adalah sesuatu yang betul.

“Dia membuat perumpamaan jika saya beli barang di pasar dan barang itu rosak, maka tidak akan ada sebarang pulangan wang.

“Bagi saya perumpamaan itu sangat bodoh kerana biasanya peniaga akan menggantikan barang yang rosak. Jika tidak sekalipun, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai barang yang rosak tersebut. Dibandingkan dalam keadaan sekarang, saya tidak mendapat apa-apa,” katanya lanjut.

Jelasnya lagi, alasan lain yang diberi adalah mereka telah memaparkan di ruangan ‘FAQ website’ mereka bahawa mereka tidak memproses warganegara asing daripada Indonesia.

“Saya mungkin terlepas pandang perkara tersebut, tetapi ketika saya mendaftar dan memasukkan maklumat serta membuat bayaran, sistem mereka telah menunjukkan bahawa pendaftaran saya berjaya atau ‘successful’.

“Sepatutnya, apabila saya memasukkan pendaftaran warga Indonesia, ianya ditolak awal-awal sebelum saya membuat bayaran.

“Apakah sistem ini sengaja direka supaya mereka boleh mengelirukan dan membohongi orang ramai? Dalam email yang dihantar kepada saya, mereka juga menggunakan alasan bahawa permohonan saya telah berjaya maka tiada bayaran balik akan diberikan.

“Antara email yang saya terima adalah berbunyi ‘As you have made the payment towards the registration successful on rehiring PATI from Indonesia under Rehiring Programme of MyEG Services, kindly inform that the payment is not refundable, and it cannot be replaced or transferred to other new applications.

“Saya juga diberitahu bahawa ramai lagi orang yang tersalah daftar seperti saya dan tidak mendapat pulangan wang mereka kerana polisi ‘bodoh’ ini.

” Maka, bukanlah wang saya sahaja telah diambil oleh myEg tetapi ramai lagi yang sudah terkena. Pegawai tersebut juga dengan angkuh menyuruh saya menyaman myEG,” katanya.

Beliau turut mempersoal apakah pengurusan dan ahli lembaga pengarah myEG yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif mereka, Dato’ Dr Norraesah Mohamad tidak membuat apa-apa tindakan berhubung perkara tersebut.

Tambahnya lagi, tindakan itu juga seolah-oleh merupakan satu dasar yang bertindak menzalimi pelanggan.

“Pengerusi Eksekutif yang pernah berkhidmat di sektor awam patut sedar dan faham bahawa sesebuah institusi ataupun syarikat perlu mempunyai dasar yang berintegriti dan telus.

“Saya pelik mengapa syarikat yang mempunyai polisi sebegitu teruk seperti myEG diberikan kepercayaan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menguruskan sebuah projek yang besar seperti ini.

“Bukan itu sahaja, Jabatan Imigresen juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa myEG telah gagal untuk memproses puluhan ribu permohonan sehingga Jabatan Imigresen terpaksa masuk campur,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Febby telah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta beberapa agensi lain termasuk badan Bukan kerajaan (NGO).

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri sehingga isu ini diselesaikan malah menegaskan perkara ini bukannya mengenai soal jumlah wang tetapi soal penipuan.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia dan pembayar cukai, saya merasakan bahawa syarikat seperti MyEG tidak layak langsung untuk menguruskan soal pendaftaran pekerja asing ini.

“Kerana syarikat yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan haruslah sebuah syarikat yang mempunyai polisi yang telus dan adil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");