Membawang Hari Ini

Makyong wayang kulit ke Hawaii

MAKYONG dan wayang Kulit merupakan seni persembahan tradisional yang amat terkenal di Malaysia. Atas dasar memartabatkan seni ini, Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Aswara nekad mempersembahkan dua kesenian tradisional di Hawaii, USA bermula 6 April lalu sehingga 17 April ini.

Berkongsi mengenai program ini, Ketua Program PuTRA, Nik Mustapha Nik Mohd Salleh berkata, pihaknya berbesar hati apabila berjaya membawakan seni tradisional ini ke peringkat antarabangsa.

“Pemergian kumpulan kesenian tradisional Aswara ini atas undangan East-West Center, University of Hawaii yang terkenal sebagai pusat pengajian teater dan seni persembahan Asia di Amerika Syarikat.

“Pusat pengajian ini melahirkan ramai cendekiawan dunia menerusi aktiviti kesenian dan ahli akademik di Malaysia. Istimewanya undangan ini kerana ia jemputan daripada tokoh akademik terawal yang menyelidik makyong, Prof Datuk Dr Ghulam Sarwar Yousof,” katanya seramai tujuh pensyarah dan graduan Aswara terlibat dalam program ini.

Tambah Nik Mustapha, undangan tersebut dianggap satu pengiktirafan buat Aswara yang menjadi satu-satunya institusi kesenian dalam mengangkat seni persembahan tradisional dalam pendidikan.

“Sumbangan Aswara dalam memastikan makyong, wayang kulit dan lain-lain seni tradisional dipelajari dan kemestian kepada pelajarnya sangat menggalakkan.

“Ia terbukti apabila ramai penggiat seni dilahirkan menerusi struktur pengajian Aswara dan mereka mampu mempersembahkan makyong dan wayang kulit dengan baik”,” katanya.

Menerusi program berkenaan, PuTRA Aswara mempersembahkan dua kesenian iaitu Makyong (Raja Muda Lakling) dan Wayang Kulit Kelantan ( Peraduan Memanah Pokok Lontar).

Bercerita mengenai plotnya, kata Nik Mustapha, bagi Raja Muda Lakling, ia berkisarkan seorang raja bernama Raja Muda Lakling yang memerintah di negeri Si Alam Bendang Khaba.

“Raja Muda Lakling bernazar sekiranya dia mendapat cahaya mata lelaki, dia akan meraikannya dengan menghimpunkan semua jenis persembahan hiburan, 12 jenis 12 bentuk persembahan yang terdapat di lembah Gunung Bermas bagi melepaskan niat dan nazarnya.

“Setelah hasratnya termakbul, Raja Muda Lakling berangkat bersama pengasuh dan puteranya ke Gunung Bermas untuk melakukan upacara pelepasan niat dan nazar. Bagaimanapun, dalam perjalanannya, dia diganggu jin dan berlaku pertempuran.

“Manakala wayang kulit pula mengambil kisah seorang tua yang mempunyai ilmu yang kuat iaitu Maharisi. Dengan hanya sebatang anak panah, dia membuat 40 pokok lontar atas seekor naga dengan sebatang anak panah,” katanya memilih karya berkenaan kerana ia punya mesej dan plot unik untuk disampaikan kepada penonton di peringkat antarabangsa.

Gandingan mantap pelakon

Meski pun menampilkan karya hebat tetapi tanpa kehadiran pelakon mantap, mana mungkin sesebuah penceritaan atau pementasan itu berjaya disampaikan dengan baik.

Kata Nik Mustapha, kerana itu, pihaknya memilih pelakon yang benar-benar menguasai watak sahaja menjadi teraju kedua pementasan seni tradisional tersebut.

“Walaupun ahli rombongan hanya terdiri daripada tujuh orang, namun keupayaan kesemua anggota membolehkan dua persembahan ini dijayakan dengan baik.

“Bagi persembahan makyung tiga pelakon terlibat adalah pelakon Juhara Ayob sebagai Pakyung, dibantu oleh dalang wayang kulit, Pak Nasir Yusoff sebagai Peran Tua dan Che Kem sebagai Jin Selangkah Tunggal.

“Gabungan tiga pelakon ini cukup untuk mempersembahkan sebuah cerita dan struktur persembahan makyung,” katanya persembahan wayang kulit pula diterajui dalang tersohor Pak Nasir Yusoff.

Menurut Nik Mustapha, sebagai usaha membawa misi seni budaya Melayu ke tanah Hawaii, peserta terlibat berusaha dan bekerja keras melakukan persiapan.

“Mereka membuat latihan bersungguh-sungguh memastikan apa yang dipersembahkan dapat menampilkan seni warisan Negara ini dengan berkesan.

“Saya yakin, mereka akan terpesona melihat gerak-geri Juhara Ayob serta pelakon lain yang mempunyai pengetahuan mendalam menerusi kedua seni ini,” katanya persembahan ini menjadi bahan dokumentasi penting buat East-West Center.

Selain persembahan, kumpulan PuTRA mengendalikan bengkel bersama pelajar dan komuniti kepulauan Hawaii.

Tugas yang mencabar – Juhara Ayub

Menurut Juhara Ayob peluang membawa makyung ke Hawaii merupakan satu tanggungjawab besar dan mencabar.

“Untuk mempersembahkannya di hadapan audiens yang pernah mengkaji dan mempelajari makyong bukannya mudah. Tersilap langkah, pasti memberikan kesan yang tidak baik. Lagi pun, ini matlamat kami dalam memperlihatkan kehebatan seni Makyung dan Mayang Kulit Melayu kepada mereka.

‘Kerana itu, saya perlu memastikan cara permainan yang baik khususnya dalam nyanyian dan patah sebutan dialek Kelantan,” katanya.

Akui Juhara, ia juga tugas paling berat di galas sejak melibatkan diri sebagai penari Makyung.

“Sejak mempelajari seni ini daripada Allahyarham Seniman Negara Khatijah Awang, inilah cabaran paling sukar untuk saya. Saya harap dapat merealisasikannya dengan baik di mata penonton di sana, katanya.

Sementara Pak Nasir berkata, kesempatan berkenaan adalah satu kebanggaan baginya.

“Semestinya saya bangga apabila dapat memperkenalkan makyong dan wayang kulit ke luar Negara. Pengalaman saya mengikuti promosi kebudayaan ke luar Negara, masyarakat di Barat sangat berminat menonton dan menghargai keindahan seni budaya kita,” katanya.

Bagi Che Kem pula, dia berasa bertuah bertuah menjadi sebahagian daripada rombongan ke East-West Center.

“Membawa makyung ke sebuah pusat pengajian ulung adalah satu penghargaan yang tinggi buat kesenian ini. Mereka mahu melihat secara dekat apa yang digelar warisan dunia. Saya sebagai rakyat Malaysia merasakan ini juga satu sumbangan kepada negara kita,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");