Sukan Hari Ini

Mara awal

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk muncul juara Kumpulan H saingan Piala AFC selepas menundukkan pasukan tercorot Lao Toyota 4-1 di Stadium Nasional, Vientiane, semalam.

Kemenangan keempat berturut-turut itu membolehkan anak didik Mario Gomez mengumpul 12 mata maksimum sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan kedua lebih awal meskipun masih berbaki dua aksi selepas ini.

Turun tanpa khidmat penjaring terbanyak kejohanan yang juga ketua pasukan, Safiq Rahim menyaksikan jentera tengah skuad Harimau Selatan itu agak longlai terutama pada babak pertama saingan.

Justeru, situasi itu menyaksikan pemain tuan rumah lebih menyengat apabila mengejutkan pasukan juara bertahan itu menerusi sepakan percuma Phatthana Syvilay pada minit ke-41 yang tepat menerjah ke gawang yang menewaskan Izham Tarmizi.

Bagaimanapun, kelebihan itu gagal digunakan sebaiknya skuad bimbingan Bounlap Khenkitisack apabila pasukan pelawat bangkit mengganas pada babak kedua yang diketuai gandingan penyerang berpengalaman Amri Yahyah dan Safee Sali.

Penantian Johor DT untuk meraih gol penyamaan tidak lama apabila Safee yang pernah berkelana di Liga Indonesia tenang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-47 buat mengikat kedudukan 1-1.

Pertahanan tengah yang jarang diturunkan sebelum ini, Fadhli Shas membalas kepercayaan Gomez apabila menambah gol kedua pasukan pada minit ke-65 sebelum Amri mencetak gol ketiga minit ke-77.

Keghairahan pelawat tidak terhenti di situ apabila penyerang import dari Argentina Jorge Diaz melengkap kemenangan penuh bergaya menerusi gol keempat hasil rembatan leret yang mudah melepasi jangkauan penjaga gol Lao Toyota Vatthana Kaoduangdeth pada minit ke-82.

Selepas ini Johor DT dijadualkan bertandang ke Myanmar untuk bertemu Ayeyawady United pada 27 April ini sebelum melengkapkan saingan dengan menentang kelab Bengaluru dari India di halaman sendiri pada 11 Mei nanti.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");