Sukan Hari Ini

Misi getir Bayern berdepan Frankfurt

Berlin: Pemain tengah Bayern Munich Sebastian Rode berkata, skuad kendalian Pep Guardiola bakal berdepan masalah memenangi gelaran Bundesliga musim ini jika tewas di tangan bekas pasukannya, Eintracht Frankfurt malam ini.

Bayern yang akan melayan kunjungan Frankfurt dan Rode tegas mengatakan pada masa sama, kelab Bavaria itu juga perlu memikirkan pertemuan menentang Benfica pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di tempat sendiri empat hari kemudian.

Ketika ini, Bayern memiliki kelebihan lima mata di depan pesaing utama, Borussia Dortmund sambil berbaki tujuh perlawanan tetapi Frankfurt yang sedang menduduki tempat kedua terbawah liga, terdesak mahu mendapat mata.

“Kami disaingi hebat Dortmund hinggakan ada kalanya seolah-olah terlupa mengenai kepentingan aksi menentang Benfica,” kata Rode yang menyertai Bayern dari Frankfurt dua tahun lalu.

“Pertamanya, kami perlu memikirkan soal Eintracht Frankfurt.”

Rode mungkin diturunkan ketika menentang bekas kelabnya apabila Guardiola memilih merehatkan beberapa bintang tengahnya menjelang aksi Eropah nanti.

Bayern pernah diikat seri tanpa jaringan dengan Frankfurt, Oktober lalu dan keputusan sama sudah memadai buat skuad kendalian Niko Kovac itu keluar daripada zon penyingkiran.

Bayern bagaimanapun tidak pernah membenarkan Frankfurt menjaringkan gol sepanjang tujuh pertemuan sebelum ini.

Tidak pernah ada pasukan Bundesliga yang mencatat rekod bersih dengan tidak melepaskan gol kepada lawan sama buat kali kelapan berturut-turut.

Bagaimanapun ia bergantung sama ada penjaga gol Bayern Manuel Neuer kekal cergas terutama apabila tidak diturunkan ketika Jerman mengalahkan Itali 4-1 akibat masalah perut pada perlawanan persahabatan baru-baru ini. – AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");