Sukan Hari Ini

Nicol masih mencari rentak

RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang menghuni tangga kelima ranking dunia kini giat mengembalikan semula rentak kemenangannya sebelum ini.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How berkata, ratu skuasy kebanggaan negara itu berdepan laluan sukar mencari rentak permainan baharu selepas Persatuan Skuasy Profesional (PSA) menukar ukuran gelanggang daripada tin 19 inci kepada 17 inci untuk kejohanan profesional skuasy wanita.

“Ramai orang fikir prestasi menurun Nicol disebabkan faktor usia tetapi berdasarkan rekod kesihatan dan merujuk kepada jurulatihnya, Nicol tidak mempunyai sebarang masalah fizikal.

“Mereka perlu ingat pemain-pemain yang mendahului Nicol sekarang ini memang cukup bagus. Sebab itu saya anggap Nicol masih dalam proses menyesuaikan diri dengan penggunaan gelanggang baharu, jadi beri beliau masa untuk dapatkan rentak permainan,” katanya.

Ying How menasihati media, peminat skuasy dan orang ramai supaya berhenti bertanya Nicol berkenaan prestasinya yang menurun kini kerana persoalan sedemikian jelas lebih memberi tekanan kepada pemain berkenaan.

Menurut Ying How, Nicol tidak mempunyai sebarang masalah sebaliknya beliau masih bekerja keras memburu kejuaraan lagipun sudah lama beliau menguasai arena skuasy dunia.

“Sepatutnya kita sebagai penyokong sukan skuasy teruskan beri dia sokongan padu bukannya terus menekan dengan soalan-soalan yang menjatuhkan semangatnya untuk bangkit.

“SRAM tidak pernah bertanya soalan seumpama itu sebaliknya mengambil maklum keperluan dan perkembangan terkini aktiviti yang dilakukan Nicol, bagaimana persatuan boleh membantunya,” katanya.

Bagaiamapun, SRAM sangat mengharapkan supaya Nicol kembali merampas semula tangga teratas yang pernah menjadi miliknya sekali gus kebanggaan unggul buat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ying How memaklumkan, SRAM sedang berusaha mencari penaja untuk menganjurkan Terbuka Malaysia 2016.

“Kita pada masa ini sedang giat mendekati dan mencari penganjur yang berminat untuk menaja Terbuka Malaysia 2016.

“Dalam situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan pastinya sukar untuk SRAM mendapatkan tajaan tapi kita akan terus berusaha,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");