Jenayah

Nyaris maut treler terbabas

KUALA PILAH: Seorang pemandu dan kelindan nyaris maut apabila treler dipandu terbabas sebelum terbalik selepas kenderaan tersebut pecah, di persimpangan lampu isyarat berhampiran Wisma MCA, di sini awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 12.40 tengah malam itu menyebabkan treler yang membawa muatan kayu potong tersebut terbalik dan bertaburan di atas jalan raya.

Bagaimanapun, pemandunya, K Murugan, 45, dan kelindannya, K Dineshkumar, 20, hanya cedera ringan.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga sedang makan di Medan Selera Kuala Pilah yang terletak kira-kira 40 meter dari lokasi kemalangan.

Menurutnya, dia terdengar satu bunyi letupan sebelum melihat sebuah lori terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya serta beberapa orang awam bergegas ke arah lori berkenaan untuk membantu mengeluarkan mangsa.

“Saya terpaksa memanjat kepala lori setinggi dua meter untuk mengeluarkan keduadua mangsa melalui pintu di bahagian pemandu. Kedua-dua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Luqman Abd Rahman mengesahkan kejadian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit dari Kuala Terengganu dan menghala ke Seremban untuk menghantar muatan kayu potong. Namun, sebaik melintasi lampu isyarat dan membelok ke arah kanan, tayar tengah sebelah kiri lori terbabit pecah hingga menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbalik sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Ekoran kejadian itu, lori serta muatan kayu bertaburan dan menutup laluan dari arah Senaling ke Melang. Anggota polis trafik membuat kawalan sehingga lori serta muatan dipindahkan,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, kerja pemunggahan muatan kayu selesai jam 8 pagi semalam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");