Sukan Hari Ini

Optimis tiga mata

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor DT, Mario Gomez yang merehatkan enam atau tujuh pemain utama optimis meraih tiga mata daripada aksi menentang Lao Toyota FC.

Justeru bagi Gomez, apa yang perlu dilakukan pemain gantian itu adalah mengekalkan fokus sepanjang perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Nasional Vientiane, petang ini supaya pemburuan tiga mata penuh dapat dicapai.

Pada aksi sebelum ini, Johor DT mudah menewaskan skuad kendalian Valakone Phomphakdy itu 3-0, 16 Mac lalu. Gol skuad Harimau Selatan ketika itu dihasilkan Safiq Rahim (dua) dan Amri Yahyah.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh pandang rendah keupayaan kelab Laos itu yang mungkin tampil dengan corak permainan berbeza, malah saya mahu setiap pemain Johor DT sentiasa berwaspada.

“Pada aksi lalu, kami menang 3-0 dan sasaran tetap memburu kemenangan biarpun saya tidak menurunkan tonggak utama kerana direhatkan untuk aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu ini. Tapi, barisan pemain simpanan diturunkan adalah setanding.

“Junior Eldstal yang sudah lama tidak beraksi akibat kecederaan mungkin diturunkan, tapi bergantung sama ada dia akan beraksi pada aksi babak pertama atau kedua,” katanya.

Bagi Gomez, biarpun terpaksa mengharungi jadual padat bersaing pada aksi Piala AFC dan seterusnya menentang Kedah dalam saingan separuh akhir Piala FA Sabtu ini, ia bukan penghalang untuk mempamerkan persembahan terbaik.

Beliau juga sudah mengingatkan setiap pemain Johor DT supaya tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Kelantan dan sebaliknya mahu pemain menganggap apa juga kelemahan sebagai proses pembelajaran.

“Apa yang berlaku seharusnya menjadi pengajaran buat pemain. Kami harus sentiasa bersedia untuk aksi lebih 90 minit dan bukan 45 atau 70 minit,” kata Gomez.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");