Sukan Hari Ini

Pamer kuasa Hart

London: Sekiranya Manchester City mahu mengatasi Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara, penjaga gol Joe Hart (gambar) perlu tampil lebih tangkas pada pertandingan itu.

Penjaga gol England berusia 29 tahun itu menggalas watak penting dalam memastikan kemenangan City ke atas Paris Saint-Germain pada suku akhir, menyelamatkan sepakan penalti Zlatan Ibrahimovic pada aksi pertama dan mengekalkan gawang daripada dibolosi pada aksi kedua bagi membolehkan City mara ke separuh akhir buat julung kali.

Sebagai salah seorang daripada tiga pemain yang berada di kelab itu sebelum diambil alih jutawan Emiriah Arab Bersatu pada 2008, selain Pablo Zabaleta dan kapten Vincent Kompany, dia sedar mengenai kesan kejayaan Eropah terhadap kedudukan City di pentas antarabangsa.

“Anda perlu beraksi cemerlang di Eropah untuk mendapatkan status (kelab besar Eropah),” kata Hart, pasukannya akan menanti kunjungan Madrid pada separuh akhir pertama awal pagi esok.

“Ia pertandingan yang amat sukar tapi kami perlu yakin mampu memenanginya. Jika tidak tiada guna kami menyertainya.”

Berikutan penyingkiran peringkat kumpulan berturut-turut dan dua kali tersingkir pada pusingan kedua di tangan Barcelona, Hart kini nadi skuad City bersama Kompany, Yaya Toure, David Silva dan Sergio Aguero yang membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi pada pertandingan Eropah musim ini.

Untuk melakukannya, penjaga gol berambut perang itu perlu meningkatkan tahap permainannya setaraf bintang Bayern Munich Manuel Neuer serta penjaga gol veteran Juventus Gianluigi Buffon sebagai penjaga gol terhebat era moden.

Biarpun menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Piala FA dan dua Piala Liga bersama City selain 57 cap bersama England, masih belum ada tanda namanya tersenarai dalam kelompok elit itu.

Hart yang sentiasa menggalas tugas City sejak 2007, kecuali semusim dipinjamkan ke Birmingham City pada 2009-10, sewaktu Shay Given menjadi pilihan di Stadium Etihad, perlu menepis dakwaan terhadap sikap angkuhnya sebelum ini.

Pada musim 2013-14, Hart berdepan saat paling mengecewakan sepanjang kariernya apabila digugurkan pengurus City Manuel Pellegrini selama dua bulan kerana sering melakukan kesilapan besar di gawang.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");