Panasnya Hari Ini

PDRM Tidak Pernah Pertikai Kewibawaan Dr Zakir Naik – KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mempertikaikan kewibawaan dan ketokohan Dr Zakir Naik dalam ilmu agama.

Jelasnya, keputusan untuk tidak membenarkan forum ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ di Melaka diteruskan adalah atas sebab-sebab keselamatan berpandukan tajuk forum itu sendiri yang boleh dimanipulasi sehingga membangkitkan kontroversi keagamaan di negara ini.

Tegasnya, sebarang keputusan yang dibuat adalah berlandaskan aspek-aspek keselamatan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak demi mengekalkan ketenteraman awam.

“Apa yang jelas, walaupun forum tersebut belum berlangsung, ianya telah mewujudkan perdebatan di kalangan pelbagai pihak sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“PDRM konsisten dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Tambah Khalid lagi, PDRM tidak menghalang sebarang bentuk wacana ilmiah atau program intelektual yang boleh mengukuhkan pembangunan rohani masyarakat di negara ini.

“Namun pihak penganjur program-program sedemikian harus memastikan tajuk dan pengisiannya tidak mengundang sebarang kegusaran di kalangan masyarakat,” tegasnya.

Terdahulu, penganjur program syarahan umum Dr Zakir Naik bersetuju untuk menukar tajuk bagi syarahan yang akan berlangsung di Melaka pada 17 April ini.

Jurucakap penganjur, Firdaus Wong Wai Hung berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bantahan dan mendengar pendapat banyak pihak.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya akur dengan nasihat Ketua Polis Negara dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa untuk memilih tajuk yang bersesuaian bagi tidak menjejaskan ketegangan agama serta kaum di negara ini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");