Perak Hari Ini

Pelbagai Perancangan Untuk Pastikan Ekonomi Negeri Terus Aktif – MB Perak

IPOH: Pelbagai perancangan sedang dan telah dilaksanakan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus aktif.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) berkata, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan adalah penting dalam usaha memastikan perkembangan ekonomi di dalam negeri.

“Dalam usaha tersebut, kerajaan negeri telah memperkenalkan insentif-insentif seperti diskaun premium tanah sehingga 30 peratus dan pajakan tanah industri sehingga 99 tahun.

“Usaha ini terbukti dengan pengwujudan pekerjaan sebanyak 3,732 pada tahun 2015 hasil daripada pelaburan berjumlah RM3.887 bilion dalam sektor pembuatan,”katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Rashidi Ibrahim (BN-Pasir Panjang) dalam Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Dalam masa yang sama, Zambry turut berkata, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga digalakkan melabur dan melaksanakan projek berskala besar sebagai pemangkin bagi melonjakkan kegiatan ekonomi terutama dalam pembangunan hartanah.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah mendapatkan komitmen daripada Kerajaan Persekutuan dalam menaiktaraf infrastruktur dan utiliti.
“Infrastruktur ini pasti akan membuka peluang dan ruang kepada pihak swasta untuk terus mengembangkan perniagaan yang seterusnya akan memanfaatkan penduduk setempat,”katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hasil kerajaan negeri daripada pelbagai sumber turut terkena tempias akibat daripada penurunan harga minyak, harga komoditi dan kejatuhan nilai ringgit.

Kata Zambry, berikutan itu, kerajaan negeri sentiasa peka dan memberi tumpuan kepada prestasi hasil dan perbelanjaan negeri.

“Dari aspek hasil, pelbagai pendekatan alternatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri iaitu melalui pemantauan hasil negeri dari masa ke semasa, penekanan terhadap hasil baru yang telah dikenalpasti berpotensi memberi pulangan hasil yang tinggi, melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan tunggakan hasil dan memberi ruang kepada cadangan hasil-hasil baru.

“Manakala dari aspek perbelanjaan pula, kerajaan negeri juga sentiasa memantau dan mengawal perbelanjaan negeri seiring dengan langkah penjimatan melalui perbelanjaan berhemah yang sedang berkuatkuasa bagi mengimbangi perbelanjaan yang telah dirancang demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");