Berita Hari Ini

Pemasangan AES perlu telus, adil

SHAH ALAM – Pemasangan tambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang bakal dilaksanakan di seluruh negara tidak lama lagi, perlu dibuat secara telus dan adil.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penambahan kamera itu adalah tindakan yang tepat dalam usaha mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang.

“Bagaimanapun, ia harus dilaksanakan secara adil dan telus supaya pengguna tidak merasa dianiaya. Kamera AES perlu diletakkan di lokasi strategik dan berisiko berlaku kemalangan.

“Tanda amaran juga perlu diletakkan lebih awal sebagai makluman kepada pengguna jalan raya (mereka) berada dalam Zon pengawasan kamera AES,” katanya.

Mengakui terdapat kelemahan pada pelaksanaan kamera AES sebelum ini, beliau berkata, pemasangan kamera AES perlu lebih telus dan bukannya disembunyikan di kawasan yang sukar dikesan pengguna.

Lam Thye berkata, kamera AES bukan bertujuan menghukum pengguna jalan raya, sebaliknya mendidik mereka supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dan tidak memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

“Apa yang lebih penting, kamera AES perlu dipasang di lokasi strategik dan kerap berlaku kemalangan maut atau kawasan berisiko kemalangan,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemasangan kamera AES tidak harus dilihat sebagai hukuman, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mengatasi bilangan kes kemalangan maut yang tinggi di negara ini.

Katanya, jemaah menteri sudah menerima kertas memorandum mengenai pelaksanaan itu dan ia akan dipantau bahagian Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malaysia antara negara mencatat kemalangan paling banyak dengan purata lebih kurang 445,000 kemalangan setahun dengan membabitkan kira-kira 6,500 kemalangan maut.

Pada 16 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 1,200 lagi kamera AES akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara bagi merakam gambar kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");