Membawang Hari Ini

Pengalaman berharga di Hong Kong

Namanya tidak asing dalam bidang pengacaraan sejak berkecimpung dalam dunia hiburan kira-kira lapan tahun lalu. Bermula sebagai pengacara program travelog, Karl Shafek mencuba nasib dalam program MasterChef Selebriti dan MasterChef Celebrity All Stars pada 2013.

Ternyata, percaturan pemilik nama sebenar Khairul Shafek Ibrahim, 36, ini menjadi apabila ramai buka mata dan melamarnya mengendalikan program masakan antaranya Rasa-Rasa untuk RTM, Resepi Saywho dan Aroma Tradisi yang kini memasuki musim keempat di TV3.

Selain itu, anak jati Pekan, Pahang ini pernah mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O, Chupp TV9, 3 Hari 2 Malam dan Hip TV.

“Alhamdulillah, rezeki saya buat masa ini lebih kepada program masakan. Saya juga berpuas hati dengan pencapaian sebagai pengacara. Semuanya berkat kerja keras selama ini.

“Namun, masih banyak lagi ilmu yang perlu ditimba bagi memantapkan penyampaian. Selain menjadikan Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil) sebagai sumber inspirasi, saya juga banyak menonton program bual bicara dari luar negara termasuk yang dikendalikan Ryan Seacrest,” katanya.

Terbaru, Shafek diberi kepercayaan sebagai pengacara CJ Wow Shop yang bersiaran di semua saluran televisyen Media Prima bermula 1 April lalu. Shafek bergandingan dengan barisan personaliti terkenal iaitu Maria Tunku Sabri, Cef Fikree Aznan, Ameera Zaini dan Nadia Annuar.

Program terbitan Media Prima Berhad dengan kerjasama syarikat jualan terkemuka dari Korea Selatan, CJ O Shopping Sdn Bhd ini menawarkan khidmat membeli-belah dari rumah dengan pelbagai pilihan barangan keperluan dapur, rumah sehingga produk kecantikan wanita berkualiti tinggi.

“Saya bertuah dipilih mengendalikan program ini. Saya juga dapat menimba pengalaman berharga bekerjasama dengan pengacara seperti Maria Tunku Sabri dan bakat baru, Ameera,” katanya.

Program CJ Wow Shop ditayangkan di TV3 pada 6 hingga 7 pagi setiap hari. Rancangan berkenaan turut ditayangkan selama tujuh jam sehari di saluran ntv7 bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

Manakala untuk saluran 8TV pula, CJ Wow Shop bersiaran pada 6 hingga 9 pagi dan dua slot tayangan untuk TV9 iaitu pada 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari hingga 4 petang setiap hari.

Berkongsi perancangan kariernya, Shafek berkata dia mahu mengendalikan program bual bicara sendiri sendiri pada masa depan.

“Buat masa ini, saya meraih pengalaman dan memperbaiki kelemahan diri dengan mengendalikan pelbagai program. Saya berharap ada pihak yang sudi menawarkan saya mengendalikan program bual bicara satu hari nanti.

“Saya akui jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pencapaian Pak Nil yang cukup disegani dalam bidang ini. Namun, saya mahu mengikut jejaknya yang bakal mengintai peluang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beralih karier lakonan pula, kata Shafek, ia antara cabang seni yang diminatinya sejak dulu.

“Jika ada kelapangan saya akan berlakon drama, filem dan teater. Pun begitu, pengacaraan tetap menjadi keutamaan.

“Saya terpaksa tolak tawaran berlakon jika bertindih jadual dengan program masakan kendalian saya seperti Aroma Tradisi yang membabitkan 80 episod.

“Saya tak mahu tamak terima semua tawaran kerana akhirnya ia akan menyusahkan banyak pihak. Baik fokus kepada satu projek sehingga selesai dan baru terima tawaran lain,” katanya. Antara teater lakonannya ialah Maduku Kalut, Tenggelamnya Kapal Van der Wjick dan terbaru Ombak Rindu yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya sejak 22 April lalu dan berakhir esok.

Shafek melakonkan karakter antagonis dalam teater arahan A Aris Kadir dan terbitan CTRA Production itu yang diterajui gandingan Keith Foo, Uqasha Senrose dan Zarina Zainoordin.

Teroka destinasi menarik di Hong Kong

Sesibuk mana pun merencana aktiviti seni, Shafek tetap meluangkan masa bercuti sambil meneroka pelbagai destinasi menarik di luar negara. Baru-baru ini dia bercuti di Hong Kong selama 10 hari.

“Kali ini Hong Kong menjadi destinasi pilihan saya. Saya mahu menikmati kemeriahan kota raya metropolitan yang menjadi tumpuan masyarakat dunia ini.

“Antara lokasi menarik yang dikunjungi bersama rakan ialah sekitar Causeway Bay, Kowloon, The Peak, Soho, Mongkok dan Tsim Tsa Sui,” katanya.

Shafek turut menimba pengalaman menarik dan sukar dilupakan sepanjang berada di Hong Kong .

“Hong Kong mempunyai sistem pengangkutan yang efisien. Penduduknya peramah dan majoriti boleh bertutur bahasa Inggeris. Kos sara hidup di sini tinggi berbanding Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai makanan pula, kata Shafek, pelancong beragama Islam tidak perlu bimbang kerana kota raya itu menawarkan pelbagai pilihan makanan halal untuk dinikmati.

“Hong Kong bukan saja didiami bangsa Cina tetapi juga dari Turki, Pakistan dan Indonesia. Selain itu, ada bangsa Cina yang menganut agama Islam serta mengusahakan perniagaan makanan.

“Saya selalu berkunjung ke Restoran Malang yang beroperasi di Causeway Bay untuk menikmati nasi padang. Pemiliknya orang Indonesia tetapi sudah lebih 40 tahun menetap di Hong Kong.

“Bandar raya Hong Kong juga terkenal sebagai syurga membeli-belah tetapi bergantung kepada bajet dan barangan. Barangan berjenama banyak dijual di pusat beli-belah di sekitar Tsim Tsa Sui dan Causeway Bay.

“Jika anda mencari barangan dengan harga berpatutan bolehlah berkunjung ke pasar malam di Mongkok yang menyediakan pelbagai cenderahati manakala fabrik dan aksesori pula boleh didapati di Sam Sui Po,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");