Berita Hari Ini

Penggiat perbankan, kewangan Islam perlu teroka pasaran global

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini, menggariskan enam tindakan yang perlu dilaksanakan penggiat industri perbankan dan kewangan Islam tempatan dalam menjayakan misi meneroka pasaran di peringkat global.

Titah baginda, dengan reputasi kukuh di peringkat global selain kepakaran dalam Fiqh al-Muamalat, Malaysia perlu menceburi bidang baharu dengan meneroka pasaran di luar negara.

Bagaimanapun, titah baginda, penggiat industri perlu melengkapkan diri dengan kebijaksanaan, rajin, berpandangan jauh, tekun serta memiliki pengetahuan dalam bidang perundangan Islam selain mahir dengan kerja-kerja teknikal perbankan dan kewangan berikutan laluan ke peringkat antarabangsa adalah sukar.

Sehubungan itu, baginda bertitah, pertamanya, penggiat industri perlu bersikap fleksibel dan berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran serta kedua, berusaha merapatkan jurang antara budaya, politik, undang-undang, ekonomi, sosial dan agama.

“Ketiga, penggiat industri perlu menjadi serba boleh dengan membangunkan kelebihan daya saing kerana persaingan boleh menjadi sengit dan keempat usaha juga perlu dilakukan untuk menjalin kerjasama dan perkongsian dengan organisasi rakan dalam bidang kuasa yang sepadan.

“Kelima, adalah penting untuk mempunyai pemahaman semasa amalan perbankan kontemporari dan pemahaman mengenai bagaimana untuk menyesuaikan diri, memperbaiki dan menambah baik bagi membangunkan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang baharu.

“Keenam, berkaitan dengan produk inovatif baharu, masalah mungkin timbul untuk menyesuaikan ke dalam konteks Syariah dan penyesuaian sukar ada kalanya perlu dibuat antara fiqh klasik dan aplikasi moden,” titahnya pada Persidangan Undang-Undang Perbankan dan Kewangan Islam Antarabangsa 2016 dan Pelancaran Memoir Tun Abdul Hamid Mohamed di sini, hari.

Sultan Nazrin bertitah, selaras dengan semangat dan sikap terbuka Islam menggalakkan perdagangan dan perniagaan, prinsip perundangan Islam memberikan fleksibiliti kepada pelbagai kontrak dan pihak yang terbabit dengan kontrak bebas membabitkan diri dalam pelbagai transaksi perniagaan selagi tidak melanggar moral dan prinsip etika Syariah.

Titah baginda, semangat penerokaan terbuka yang dibenarkan dalam tradisi Islam membolehkan kewujudan pelbagai mod transaksi dan instrumen kewangan.

“Keadaan ini menjadi asas teknologi di sebalik percambahan produk kewangan, perkhidmatan dan institusi Islam yang membawa kepada pertumbuhan industri secara luar biasa,” titah baginda.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/147618

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");