Perak Hari Ini

Perkembangan Urbanisasi Perlu Ditangani Dengan Bijak – Sultan Nazrin

IPOH: Perkembangan urbanisasi perlu ditangani dengan bijak bagi mengelakkan ketidakselesaan yang dinikmati penduduk sesebuah bandar akan terjejas seterusnya mengakibatkan kualiti kehidupan bandar akan merosot, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah Baginda, Malaysia dijangka mencapai 75 peratus penduduk bandar menjelang tahun 2020 dan negeri Perak akan turut mengalami perkembangan urbanisasi dan kepadatan tinggi penduduk bandar.

“Sekiranya perkembangan urbanisasi tidak ditangani secara bijak, dikhuatirkan keselesaan sedia ada yang sedang dinikmati oleh penduduk sesebuah bandar akan terjejas, mengakibatkan kualiti kehidupan bandar akan merosot.

“Kualiti persekitaran sesebuah bandar pada umumnya dinilai dari segi bebas daripada semak samun, longgokan sampah, air bertakung dan longkang tersumbat. Senario tersebut merupakan keperluan minima rakyat di masa lampau.

“Kini keperluan untuk mencapai tahap persekitaran bandar yang berkualiti tidak lagi terhad kepada elemen tafsiran asas seperti itu, tetapi meliputi kualiti ruang udara dan sumber air yang tidak tercemar, juga merangkumi penyediaan sistem prasarana dan pengangkutan awam yang lebih mesra alam sekitar serta penyediaan kemudahan- kemudahan sosial, pendidikan, kesihatan, rekreasi, budaya dan sukan,”titah baginda.

Sementara itu, baginda turut bertitah bahawa sektor pertanian akan terus dibangunkan dalam usaha meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi matlamat jaminan bekalan makanan dan memaksimumkan pendapatan.

“Matlamat ini boleh dicapai melalui pembangunan pertanian bernilai tinggi, dengan membangunkan secara kluster, industri buah-buahan, sayuran, kelapa, padi, herba, taman kekal pengeluaran makanan, pembangunan padang ragut, pembangunan ternakan ruminan dan pembangunan perikanan darat.

“Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mengambil inisiatif mewujudkan industri baru, penanaman sayuran tanah rendah, berskala komersial dan berteknologi tinggi di Kerian; kejayaan projek ini memungkinkan daerah Kerian berperanan sebagai pengeluar utama sayuran tanah rendah,”titah baginda lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");