Panasnya Hari Ini

PRN Sarawak: Yakin Dengan Kriteria Calon Dipilih – PAS

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS yakin dengan kriteria calon berwibawa yang dipilih di lima kawasan pertembungan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 11 Sarawak.

Katanya, pemilihan calon tersebut akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk menang pada pilihan raya tersebut.

Tuan Ibrahim yang dipetik Sinar Harian berkata, beliau percaya PAS mampu memperoleh kemenangan berdasarkan reaksi positif yang diterima daripada pengundi Sarawak.

“Kita meletakkan calon anak tempatan yang berwibawa, bekas tokoh korporat, jurutera, dengan 80 peratus daripada mereka ini adalah lepasan ijazah.

“Insya-ALLAH, dengan meletakkan calon berwibawa ini akan memberi kelebihan kepada PAS untuk menang,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambahnya lagi, walaupun PAS telah membuat pengumuman awal untuk bertanding di 11 kerusi awal April lalu, ternyata pertembungan itu tidak dapat dielakkan.

Jelasnya, PAS berharap tidak berlaku pertandingan tiga penjuru di kalangan blok pembangkang yang ada kerana itu akan memberi ruang dan peluang kepada BN.

“Namun sayangnya, isu perundingan kerusi di Sarawak ini tidak berjalan sebagaimana sepatutnya dan tidak dapat dielakkan.

“Jadi, apa yang boleh kita lakukan, pastikan gerak kerja terus dilakukan oleh jentera parti,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub telah mengumumkan bahawa parti itu akan bertembung dengan PAS di lima kerusi antaranya Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro pada PRN Sarawak.

Pada PRN kali ini, Amanah akan bertanding 13 kerusi, DAP 29 kerusi, manakala PKR bertanding 40 kerusi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");