Berita Hari Ini

PTPTN perlu lebih profesional

SEREMBAN – Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyenaraikan nama peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten ke dalam pangkalan data berkomputer CCRIS untuk disenaraihitamkan adalah tidak profesional.

Beliau berkata, tidak salah mengutip hutang tetapi jangan sampai membebankan peminjam dengan perkara yang tidak wajar sehingga menyukarkan mereka mendapatkan pinjaman bank untuk membeli kenderaan atau hartanah.

“Tindakan PTPTN amat mendukacitakan. Bukannya mereka tidak tahu, masih ramai graduan bergelut untuk hidup disebabkan keadaan ekonomi semasa. Lagipun, bukan semua ingkar membayar. Ada yang tidak konsisten akibat kekangan kewangan.

“Pada masa sama, hutang pendidikan mereka terus-menerus tertunggak. Akhirnya disenarai hitam dalam CCRIS sebagai hukuman. Tidak patut menekan mereka sebegitu rupa,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau juga difahamkan bahawa langkah berkenaan telah dilaksanakan sejak pertengahan tahun lepas, namun tidak dimaklumkan kepada orang ramai.

“Memang pelik… kenapa perlu sorok-sorok ambil tindakan? Bila sudah ramai terkena dan bising, baru sekarang hendak diuar-uarkan. Patutnya maklumkan awal-awal bila ketengahkan sesuatu dasar, jadi peminjam terlibat boleh bersedia.

“Difahamkan, rekod peminjam hanya akan dikeluarkan dari CCRIS jika tunggakan diselesaikan sepenuhnya. Bagi yang membayar separuh daripada jumlah tunggakan pula, akan dimasukkan dalam Rekod C dan tetap berdepan kesukaran membuat pinjaman di bank,” katanya.

Secara tidak langsung, katanya, situasi tersebut menggambarkan betapa kerajaan terdesak untuk mendapatkan wang sehingga sanggup memeras daripada rakyat.

“Bila buat macam ini, nampaknya peminjam dihimpit ke jalan buntu untuk berkembang dalam hidup. Maklumlah, hampir semua benda memerlukan pinjaman bank zaman sekarang.

“Jadi, rakyat kena fikir balik sama ada kerajaan sedia ada berwibawa atau tidak melahirkan generasi muda berdaya saing. Kalau mereka boleh bantu selesaikan masalah 1MDB dan sebagainya, apa salahnya hulurkan pertolongan pada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Media melaporkan sebelum ini, perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

“Kami memerlukan mereka untuk membuat pembayaran balik secara konsisten kerana kami hanya berjaya mengutip RM7.5 bilion dari RM15.8 bilion,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");