Berita Hari Ini

RM100j diperlukan naikkan tinggalan kapal purba

ALOR SETAR – Dianggarkan lebih RM100 juta diperlukan bagi menaikkan kira-kira lima buah tinggalan kapal-kapal purba yang ditemui di sungai kuno yang pernah mengalir di kawasan bersejarah Tapak Arkeologi Sungai Batu ribuan tahun dahulu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata bagi setiap satu kapal, sekurang-kurangnya RM25 juta diperlukan untuk menaikkannya, satu kos yang amat tinggi disebabkan ia memerlukan kepakaran dan peralatan khusus.

“Kalau daratan lebih mudah berbanding melakukan ekskavasi di bawah air. Memerlukan peralatan khas dan sebagainya. Jadi peruntukan ini dari segi geran kajian memang dari semasa ke semasa USM bantu kami secara keseluruhannya.

“Kapal ini kita banyak kerja sikit kerana dalam air, kena sedut pasir, sedut air, kemudian bila kita jumpa kita tidak boleh keluarkan macam itu saja kerana faktor pemuliharaan dan pemeliharaannya, lebih remeh dan teliti berbanding apa yang kita buat di daratan,” katanya.

Ogos lalu, Bernama melaporkan bahawa para pengkaji di tapak arkeologi itu menemui beberapa tinggalan kapal purba, hampir dua tahun lepas.

Kapal-kapal itu dikesan tertanam dalam sebuah kawasan berpaya dan berselut di tapak arkeologi itu, yang ribuan tahun dahulu merupakan sebuah sungai kuno yang dalam dan luas.

Pada 2012, katanya, pihaknya telah menemui tiang layar dan paku-paku kapal, bagaimanapun kerja-kerja tersebut terpaksa dihentikan dahulu sementara menunggu masa dan peruntukan yang sesuai.

Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata data-data lebih holistik mengenai Tamadun Sungai Batu akan dimasukkan dalam silibus Sejarah di sekolah menengah, bagaimanapun ia mengambil masa yang agak lama.

“Dalam sejarah kita tahu klasifikasinya prasejarah, tamadun dan sejarah. Jadi peringkat peringkat tamadun Sungai Batu ini kami nampak data lebih holistik yang boleh dimasukkan dalam buku sejarah.

“Sejak 2007 kita jumpa (tamadun Sungai Batu) pergerakan (pengumpulan data) sudah dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha memastikan agenda arkeologi berterusan dan kepentingannya disedari ramai, USM bersama beberapa agensi, akan menganjurkan Kedah Tua International Conference di Sungai Petani Inn pada 21 dan 22 Mei.

Mereka yang berminat, katanya, bolehlah mendaftar di ktic my.blogspot.com, dan fokus akan diberikan kepada kepentingan arkeologi Lembah Bujang, serta perbezaan antara semua tamadun awal semasa abad ke-enam sebelum Masehi hingga abad ke-12.

Selain itu, Festival Kedah Tua turut dijalankan pada 20 hingga 23 Mei di Tapak Sungai Batu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");