Panasnya Hari Ini

Saranan Adakan Solat Istisqa’ Esok – JAKIM

KUALA LUMPUR: Semua masjid di seluruh negara disarankan agar dapat melaksanakan Solat Istisqa’ (solat minta diturunkan hujan) pada esok 19 April 2016 (selasa) sejurus selepas menunaikan Solat Zohor.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha berkata, ia bertujuan untuk memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau panjang selain terhindar daripada kesan kepanasan melampau dan keadaan cuaca di negara ini kembali pulih seperti sediakala.

“Saya meminta masjid-masjid utama di bawah kelolaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh Masjid dan Surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menunaikan Solat Istisqa’ tersebut.

“Di samping itu, saya memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia agar dapat mengadakan Solat Istisqa’ di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan agensi masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, solat Istisqa’ ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan bertujuan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau panjang.

“Ia merupakan sunat muakkad (sangat dituntut) bagi penduduk Islam di sesuatu tempat yang telah lama mengalami kemarau, musim kering, berjerebu dan kesukaran memperolehi sumber air.

“Semoga dengan pelaksanaan Solat Istisqa’ di seluruh negara kali ini, hujan akan turun membasahi bumi serta dapat memulihkan cuaca di negara kita. Hanya kepada Allah kita berharap,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");