KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, sokongannya terhadap UMNO tetap utuh, tambahan pula beliau sudah hampir 50 tahun bersama-sama dengan parti itu.
Ujarnya lagi, disebabkan sudah lama bersama UMNO, beliau akan terus menyokong presiden parti walau siapa pun yang mentadbir parti.
“Saya ahli UMNO, saya mesti sokong Presiden saya. Mahathir tidak lagi ahli UMNO. Saya sudah hampir 50 tahun jadi ahli UMNO dan Ketua UMNO Bahagian selama lebih 40 tahun,” katanya, lapor Antarapos.
Dalam masa yang sama, tegas Tengku Razaleigh, isu beliau telah ‘beralih arah’ seperti yang dibangkitkan oleh mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah menandatangani Deklarasi Kelantan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya dipolitikkan.
“Saya ahli UMNO, saya mesti sokong apa yang ada dalam UMNO dan kebetulan UMNO berkuasa, siapa yang jadi Presiden dan Perdana Menteri, itulah orang kita,”tegasnya.
Terdahulu, pemimpin veteran UMNO itu dikatakan menyokong Tun Mahathir kerana hadir dalam satu sidang media bersama peimpin itu, Oktober lalu.
Kehadiran beliau bersama Tun Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal adalah bagi menyatakan perasaan tidak senang dengan penangkapan bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Mathias Chang.
“Saya hadir dan saya buat kenyataan dalam sidang akhbar itu, tetapi mereka labelkan terus saya ini dengan Mahathir,”ujarnya.
Jelasnya, kehadiran beliau ke sidang media tersebut adalah kerana beliau berpendirian bahawa penangkapan kedua-dua individu tersebut tidak wajar dilakukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).