Berita Hari Ini

Seimbang peraturan antara teksi, Uber dan GrabCar

MELAKA – Keseimbangan dari segi peraturan dan undang-undang untuk perkhidmatan Uber, GrabCar dan teksi biasa adalah perlu bagi memastikan semua perkhidmatan itu mampu bersaing di atas platform sama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong berkata, keseimbangan itu juga penting dalam usaha memastikan perkhidmatan teksi yang sedia ada tidak terjejas.

Beliau berkata, walaupun setakat ini tiada perkhidmatan Uber dan GrabCar dikesan di Melaka namun perlaksanaan perkhidmatan itu perlu dikaji secara terperinci bagi mengelak sebarang permasalah melibatkan banyak pihak.

“Melaka masih menunggu keputusan kerajaan persekutuan mengenai perkara ini. Tiada permohonan untuk melaksanakan sistem itu (Uber dan Grabcar) masa ini namun kita akan pertimbangkan setelah kerajaan pusat buat keputusan,” katanya kepada Bernama di sini.

Bernama sebelum ini melaporkan kerajaan sedang mempercepatkan usaha merangka mekanisme terbaik bagi membolehkan perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar beroperasi pada platform yang sama dengan perkhidmatan teksi biasa.

Ia ekoran ratusan pemandu teksi mengadakan demonstrasi membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa menjejas pendapatan mereka dan demonstrasi itu menyebabkan beberapa laluan utama sekitar ibu kota sesak.

Sementara itu, Ban Hong berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji agar semua kereta sewa di Melaka menggunakan meter bagi mengelak penipuan dan kekeliruan kepada penumpang kereta sewa di negeri itu.

Beliau berkata, mengikut rekod setakat ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menerima 51 aduan berkaitan ketidakpuasan hati penumpang kereta sewa terutama daripada pelancong di negeri ini kerana tambang yang dikenakan agak tinggi dan tidak berpatutan dengan jarak yang dilalui.

Katanya sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu kereta sewa yang mengenakan tambang yang tinggi memberi imej negatif kepada negeri terutama dalam kalangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kita telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pelbagai pihak terlibat terutama SPAD Melaka dan Persatuan kereta sewa dan teksi di negeri ini. Kini ia dalam peringkat akhir untuk merealisasikan inisiatif ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 1,000 pengusaha kereta sewa di negeri ini dan sehingga kini respons yang diterima daripada persatuan pengusaha kereta sewa dan teksi di negeri itu adalah positif untuk beroperasi menggunakan meter.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");