SHAH ALAM – Fello Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengakui sekolah vernakular memberikan kesan negatif terhadap pembangunan negara bangsa.
Katanya, sekolah vernakular, terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina menekan etnik dan identiti bangsa yang sangat melampau, ia diakui sendiri Timbalan Menteri Pendidikan II dari MCA (Chong Sin Woon) iaitu sekolah Cina menekankan bahasa dan budaya Cina.
“Lepasan sekolah Cina dan sekolah lain adalah berbeza cara pemikiran pelajar juga berlainan.
“Buat masa ini ada tujuh aliran sekolah rendah, bermakna ada tujuh orientasi berlainan kepada pelajar iaitu, sekolah kebangsaan, sekolah rendah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendirian di rumah,” katanya menjawab soalan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung sekolah vernakular antara punca masyarakat tidak bersatu.
Kok Seong antara panel pada program Wacana Sinar Harian Edisi 38, bertajuk ‘Sampai Bila Mahu Rasis’ di Dewan Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini, semalam.
Panel lain adalah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Ibrahim Saad; Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu/Aktivis Sastera, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman dan Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) Bro Firdaus Wong.
Program ilmiah ini akan dikendalikan oleh Nazri Kahar (Astro Awani).
Katanya, penubuhan sekolah satu aliran perlu dan semua harus duduk dan strukturkan semula sekolah berkenaan.
“Sekolah berkenaan mesti ada komponen akademik, kerohanian dan etnik?,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan bahasa sebagai ejen untuk menyatu-padukan masyarakat di mana terdapat satu teori mengatakan hanya negara yang mengamalkan satu bahasa lebih mudah untuk bersatu.
“Kita benarkan hingga empat bahasa untuk diamalkan dalam negara iaitu, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Cina (Mandarin) dan India (Tamil). Natijahnya kesukaran kepada kita untuk mendapatkan perpaduan,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan kena lihat kenapa kegagalan menggunakan Bahasa Melayu untuk menyatukan rakyat.
“Kena lihat kenapa gagal, sepatutnya bahasa (Melayu) boleh tetapi (kerajaan) gagal satu padukan anak bangsa, jadi perkasa sebegini perlu diteliti kembali. Ibarat sesat tengah jalan, kembali pangkal jalan,” akhirnya.?
-Sinar Harian