Sukan Hari Ini

Sepak takraw: Terengganu sasar dua emas

TERENGGANU meletakkan harapan tinggi dengan sasaran sekurang-kurangnya dua emas menerusi skuad sepak takraw yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Kuching, Sarawak bermula 22 hingga 31 Julai nanti.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd Shapian Ali berkata, sasaran berkenaan disandarkan kepada acara regu dan acara berpasukan.

Sasaran itu katanya, dibuat berdasarkan pencapaian yang semakin memberangsangkan dalam kalangan pemain selepas melalui proses pemilihan sejak beberapa bulan lalu.

Pada Sukma ke-15 di Perlis, dua tahun lalu, Terengganu sekadar meraih satu emas menerusi acara regu.

“Sudah tentu kita mahu tebus kekecewaan di Perlis. Untuk itu, kita telah senaraikan 15 pemain untuk menggalas cabaran kontinjen Terengganu di Kuching nanti.

“Saya percaya, pemain yang dipilih ini mampu merealisasikan sasaran dua emas itu,” katanya semalam.

Skuad Terengganu mendapat sentuhan jurulatih dari Thailand, Vitaya Boonta.

“Pesan saya kepada pemain agar tingkatkan disiplin, berlatih bersungguh-sungguh dan patuh kepada setiap arahan jurulatih.

“Mereka sepatutnya bangga dan bersyukur kerana terpilih mewakili Terengganu,” katanya.

Latihan intensif

SEMENTARA itu, pengurus dan jurulatih pasukan sepak takraw Terengganu di Sukma ke-16, Mohd Futra Abd Ghani memaklumkan, pemain kini sedang giat menjalani latihan intensif termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji keserasian gandingan dan persefahaman.

“Kita melihat pemain memberikan komitmen tinggi semasa sesi latihan. Pemain juga dilihat mengambil inisiatif untuk perbaiki kelemahan tanpa perlu diberitahu jurulatih.

“Sudah tentu kegagalan di Piala Emas Khir Johari Februari lalu dijadikan iktibar dan pemain juga tekad mahu menebus kekecewaan di Sukma ke-15 di Perlis,” ujar Mohd Futra.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");