Sukan Hari Ini

Sepatutnya bawa Zulfadli: Roslin

Kuala Lumpur: Zulfadli Zulkiffli patut berada dalam skuad Piala Thomas sekurang-kurangnya sebagai perseorangan keempat, itu pandangan yang dilontarkan bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim.

Menurutnya, alasan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berhubung pemilihan pemain bagi menggalas tugas perseorangan ketiga untuk kempen Piala Thomas di Kunshan, China bulan depan sebagai tidak boleh diterima.

“Beliau tidak membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan, dengan memberi alasan menyenaraikan Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat disebabkan pengalaman dimiliki mereka berbanding Zulfadli Zulkifli,” katanya semalam.

Jelasnya, pemilihan Wei Feng dan Soon Huat dibuat berdasarkan pengalaman untuk menggalas tugas perseorangan ketiga tetapi perseorangan kedua yang dipilih (Iskandar Zulkarnain Zainuddin) juga tidak mempunyai pengalaman.

“Saya tidak boleh terima perkara ini kerana seolah-olah Frost hanya tertumpu kepada tempat perseorangan ketiga. Adakah pasukan kali ini dipilih sememangnya untuk bermain hingga perlawanan penentuan, jadi jika perseorangan kedua kalah pun tidak mengapa.

“Sepatutnya Frost lihat secara menyeluruh. Kita tidak boleh mengharapkan semua perlawanan membabitkan pasukan negara ditentukan hingga perlawanan penentuan, kalau boleh habis awal, habiskan awal,” katanya.

Roslin yang pernah membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas pada 1998 dan 2002, berkata Zulfadli sewajarnya diberikan peluang untuk berada dalam pasukan sekurang-kurangnya sebagai pemain simpanan.

“Berdasarkan prestasi semasa, Wei Feng, Soon Huat dan Zulfadli sebenarnya lebih kurang sama saja. Jika diberi pilihan, saya akan menyenaraikan Wei Feng dan Zulfadli berbanding Soon Huat,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");