Jenayah

Seperiuk air ketum dirampas

SEREMBAN: Polis merampas seperiuk besar mengandungi 55 bungkus cecair disyaki air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Alamanda, Senawang pada Sabtu lalu, sekitar jam 1.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, tiga botol plastik bersaiz 90 mililiter berisi cecair disyaki kodein, termasuk satu alat penimbang, periuk besi kecil dan penyepit besi turut dijumpai dalam operasi tersebut.

“Kita juga merampas satu paket plastik methamphetamine dianggarkan seberat 0.17 gram dan tiga paket plastik kanabis berbentuk ketulan mampat dengan berat sekitar 21.71 gram,” katanya.

Melalui serbuan kedua terhadap sebuah kediaman di Kampung Jiboi, Ampangan sekitar jam 3 pagi pada hari yang sama pula, katanya, polis menemui helaian daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan seberat 3.2 kilogram.

“Lima lelaki berusia lingkungan 22 dan 37 tahun ditahan dalam kedua-dua serbuan itu. Tiga di Senawang manakala selebihnya di Ampangan. Kesemuanya direman dari 16 April hingga esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Berdasarkan siasatan awal, salah seorang daripada suspek yang berusia 22 tahun pernah ditangkap sebelum ini dan kesnya masih berjalan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan daun ketum ke daerah ini didapati bermula sejak penghujung tahun lepas dan secara purata sebungkus air ketum dijual pada harga RM10.

“Bagi kita, perkembangan ini tidak begitu baik untuk masyarakat setempat kerana daun ketum boleh mempengaruhi seseorang untuk bertindak agresif.

“Kita akan cuba sedaya-upaya melakukan risikan ke atas sindiket pengedaran air ketum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");