Membawang Hari Ini

Seronok dengan tugasan baru

Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran, pengacara Zaim Helmi Zaini pernah terbabit sebagai wartawan penyiaran selama dua tahun sebelum diserap menjadi pengacara dalam program Malaysia Hari Ini (MHI).

Zaim, 30, berkata, sepanjang mengendalikan program bual bicara itu, dia masih turun padang membuat liputan, melakukan proses suntingan dan rakaman suara.

Kini, selepas empat tahun menjalankan kerja itu, Zaim akur apabila terpaksa meninggalkannya dengan memilih tugasan baru sebagai pengacara program CJ Wow Shop.

“Walaupun tidak lagi melakukan tugasan seperti dulu, saya masih bergelar pengacara MHI. Saya bersiaran setiap Isnin, Selasa dan Jumaat. Pada Rabu dan Khamis saya perlu menjalani rakaman CJ Wow Shop.

“Boleh dikatakan sekarang saya melakukan dua kerja. Namun, perkara itu bukan satu masalah kerana ia adalah rezeki dan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan.

“Lagipun, sudah tiba masanya saya mencuba perkara lain yang di luar keselesaan saya. Pada mulanya saya berfikir mungkin akan ditamatkan kontrak di MHI, tetapi tidak,” katanya.

Berkongsi mengenai tugasan barunya, Zaim baru saja selesai merakamkan enam produk selepas ia dilancarkan sejak awal April lalu.

“Dari awal lagi saya sudah berasakan program ini sangat mencabar. Pada mulanya saya berfikir nak menjual barang adalah mudah, sebaliknya tidak.

“Ada sesetengah barang yang dijual sangat mudah, tetapi perkara yang merumitkan adalah tuntutan dan syarat daripada pihak produksi. Bukan apa, banyak kriteria yang perlu dipatuhi,” katanya.

Disebabkan itu, Zaim pernah mengulang 11 kali proses rakaman membabitkan sebuah produk semata-mata mahu memberikan yang terbaik.

Menurut Zaim, keutamaan mereka adalah bagi meyakinkan penonton supaya membeli produk yang diketengahkan.

“Memang penat, tetapi ia menyeronokkan. Pada masa sama, kru juga ‘sporting’ selain pasangan pengacara yang banyak membantu.

“Selain itu, mengendalikan program ini memang kena bersedia dan lengkap dengan maklumat berkenaan produk itu. Skrip pula tidak disediakan dan sepanjang 40 minit itu, saya perlu bercakap tanpa henti,” katanya.

Belum puas

Memasuki tahun kelima sebagai pengacara, Zaim mengakui dia belum puas.

Dia mahu menerokai lebih banyak peluang dalam bidang pengacaraan.

“Saya bersyukur apabila majikan mulai memberi peluang untuk mencuba perkara baru. Apabila mengendalikan satu lagi program, sedikit sebanyak ia membuka jalan kepada saya untuk mencari peluang lain.

“Selama ini saya memasang impian untuk mengacarakan program berbentuk travelog sambil memasak. Bukan apa, dengan kelulusan yang ada dalam bidang ini saya yakin boleh melakukannya,” katanya yang turut bercita-cita menerbitkan program berkonsepkan perkahwinan ala kampung.

Dalam perkembangan lain, Zaim semakin teruja untuk bergelar bapa apabila isterinya, Nur Damia Mohamesd Nasir, 29, kini hamil tiga bulan.

“Kami tidak pernah merancang, cuma selepas berkahwin kami masih mahu bergembira hidup berdua.

“Namun, selepas mendapat tahu isteri hamil, kami tetap bersyukur kerana diberikan rezeki awal,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Zaim berkata dia turut mengalami alahan selama tiga minggu pada peringkat awal kehamilan isterinya.

Zaim mengakui dia lebih cepat merajuk, sensitif dan ketagih bau isterinya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");