Membawang Hari Ini

Shera Aiyob Cemas Anak Terkena Sawan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Shera Aiyob memberitahu anaknya Nadi Anaqi pernah beberapa kali diserang penyakit sawan ketika demam panas sehingga membuatkannya bimbang meninggalkan kanak-kanak itu bawah jagaan pengasuh.

Shera, 30, berkata, perkara tersebut juga menjadi salah satu punca dia mengambil keputusan untuk mengundur diri buat semantara waktu daripada bidang lakonan bagi memberi perhatian kepada pembesaran anaknya.

“Setiap kali anak demam saya akan bimbang kerana dia mudah untuk terkena sawan atau febrile fit, ketika pertama kali dia kena sawan itu saya dan suami panik tidak tahu nak buat bagaimana selain berkejar ke hospital dengan segera.

“Masa itu hanya Allah tahu perasaan saya dan suami, bayangkan anak kami sudah tidak beri respons dan terkulai dalam dukungan saya.

“Nasib baik ketika perkara itu berlaku saya dan Zahiril ada bersamanya, sebab itu juga kalau boleh saya mahu dia sentiasa berada di hadapan saya dan kami tidak mahu menyerahkan tanggunhjawab itu kepada orang lain,” ujarnya kepada mStar Online.

Sawan berlaku akibat kekejangan urat saraf yang berlaku di salah satu sendi atau anggota tubuh badan.

Tambah Shera, selepas kejadian pertama, dia dan Zahiril banyak belajar dan mencari maklumat tentang penyakit tersebut.

Katanya, mereka juga sudah tahu untuk berhadapan situasi cemas itu jika ianya berulang lagi.

Shera berkahwin dengan pelakon Zahiril Adzim pada 20 November 2011 dan dikurniakan cahaya mata, Nadi Anaqi, 3 tahun.

“Ia merupakan penyakit yang mudah terjadi kepada kanak-kanak jika mengalami demam panas dan jika kita tidak bertindak segera ia akan berbahaya kepada kanak-kanak itu.

“Selepas kejadian pertama itu, dia ada terkena beberapa kali lagi, saya dan suami banyak mencari maklumat tentang penyakit tersebut dan belajar cara-cara untuk menghadapinya agar tidak panik,” ujarnya.

Sementara itu, Shera yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa, berkata, dia enggan terlalu bergantung kepada suaminya jika terjadi perkara-perkara cemas terhadap anak mereka.

Shera berkata, dia seboleh-bolehnya akan menyelesaikannya sendiri sebelum memberitahu kepada suami yang sedang bekerja.

Ini kerana dia tidak mahu fokus suaminya terhadap penggambaran terganggu dan memikirkan tentang keadaan mereka.

“Kalau ia tidak terlalu teruk dan saya boleh kendalikan sendiri saya tidak akan ganggu Zahiril yang sedang bekerja.

“Dia seorang yang cepat susah hati dan tidak boleh fokus dengan lakonan jika diganggu terutama berkaitan anak,” ujarnya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");