Berita Hari Ini

Sistem pengesan bawah air perkukuh perairan Sabah

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengukuhkan kawalan di perairan Sabah dengan menggunakan sistem pengesan bawah air dan penempatan enam helikopter ringan MD-530G buatan Amerika Syarikat.

ATM akan menempatkan satu sistem pengesan bawah air di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Sabah dan satu sistem pemantau pesisir laut untuk Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi helikopter MD-530 keluaran syarikat Mcdonnell Douglas, keenam-enam buah helikopter itu akan diterima pada hujung tahun ini.

Perolehan helikopter berkenaan khusus untuk memperkuatkan serta memperkukuh pertahanan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), katanya.

“Kesemua aset ini akan ditempatkan di Sabah selain kita juga tempatkan Kenderaan Tempur Infantri (IFV25) iaitu ‘Gempita’. Teras keselamatan di Sabah sememangnya akan melibatkan aset-aset tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak dan Memorandum Persefahaman (MOU) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 dokumen kontrak dan empat Letter Of Acceptance (LOA) bernilai RM2.9 bilion ditandatangani antara Malaysia dan beberapa syarikat pertahanan.

Selain itu, Hishammuddin berkata, aset lain iaitu empat buah helikopter Blackhawk dari Brunei pula dijangka diterima selewat-lewatnya September ini.

“Ke bawah Duli Sultan Hassanal Bokiah kurniakan kepada kita Blackhawk dan kita akan naik taraf dan beli alat ganti sendiri.

“Perolehan ini bukan sahaja untuk perkukuhkan keselamatan di Sabah tetapi juga di Brunei,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan rondaan bersama bagi menangani kes lanun dan penculikan di perairan Laut Sulu, Hishammuddin berkata, ancaman di perairan itu tidak boleh ditangani oleh sebuah negara sahaja.

“Apa yang dilakukan di perairan Selat Melaka boleh juga dilaksanakan di perairan Sulu.

“Pengalaman dengan Singapura dan Thailand di Selat Melaka boleh diguna pakai untuk tangani ancaman di kawasan perairan Sulu,” katanya.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan bercadang menjemput Singapura dan Thailand untuk menjadi pemerhati bagi rondaan keselamatan di Laut Sulu.

Pameran DSA 2016 bermula hari ini sehingga Khamis itu menyaksikan penyertaan daripada 60 negara.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");