TAIPING: Skuad Muda 1JPJ yang ditubuhkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diharap mampu membantu dalam memastikan orang ramai turut memikul tanggungjawab mengurangkan kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan ahli Skuad Muda 1JPJ di seluruh negara adalah berjumlah 300, 000 orang yang berperanan sebagai sukarelawan JPJ.
Pihaknya mensasarkan satu juta ahli menyertai Skuad Muda 1JPJ menjelang tahun 2020.
“Setakat ini 300,000 orang ahli seluruh negara, sasaran kita pada 2017 adalah sebanyak 500,000 orang dan menjelang tahun 2020 sebanyak 1 juta skuad dapat dikumpul
“Manakala sebanyak 100,000 orang mendaftar secara individu dan 200,000 orang mendaftar melalui persatuan pemotoran yang bergabung dibawah skuad muda.
“Ada 196 buah persatuan pemotoran yang bergabung dibawah skuad muda,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari JPJ ke-70 Peringkat Negeri Perak, di JPJ Cawangan Taiping, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, setakat ini penglibatan komuniti orang ramai masih berkurangan namun dengan adanya skuad Muda 1JPJ boleh menjadi satu gerakan dan gelombang kesedaran di kalangan masyarakat mengurangkan kemalangan.
“Ia ada kesan yang positif dan misi berjalan dengan selari iaitu penguatkuasaan dan kesedaran orang ramai,” katanya.
Ujarnya lagi, pihak JPJ telah membuat perubahan dan transformasi bagaimana untuk merakyatkan JPJ selaras dengan gagasan kerajaan.
“Usaha penambahbaikan tidak berhenti di sini sahaja masih ada kelemahan dan perkara yang boleh dibuat penambahbaikan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai,” katanya.